Sabtu, 1 Oktober 2016 | 12:13am
FIRDAUS ketika memberi penerangan kepada pengunjung. - Foto Ihsan Pembaca

Firdaus Wong tumpu dakwah jalanan


DAKWAH adalah sunnah, manakala sunnah dalam dakwah ialah penolakan, ujian serta cabaran. Namun, penolakan terhebat kepada pendakwah ialah apabila ia datang daripada umat Islam sendiri.

Penolakan daripada orang Islam bukan sahaja boleh melembapkan usaha dakwah, malah kadangkala menyebabkan kegagalan terhadap niat murni mengajak masyarakat mempertingkatkan kefahaman, seterusnya akur kepada ajaran Islam sebenar.

Berhadapan situasi sebegitu sudah menjadi kebiasaan kepada Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM) atau Mualaf Berbilang Bangsa, Firdaus Wong Wai Hung, 33, tetapi sedikitpun tidak mematahkan semangat, sebaliknya menjadi motivasi untuk memperhebatkan usaha menyebarkan syiar Islam.

Tindakan beliau mengedarkan al-Quran terjemahan kepada bukan Islam, pernah mendapat kritikan masyarakat Islam. Beliau melihat reaksi itu disebabkan salah faham kerana al-Quran bukan untuk umat Islam sahaja tetapi diturunkan kepada seluruh manusia.

"Bagi saya, jika kita berdakwah untuk mencari keredaan Allah SWT, tidak ada duit pun kita tetap terus berdakwah. Dakwah yang terputus di tengah jalan ialah apabila ia dibuat kerana makhluk.

"Alhamdulillah saya dikelilingi sahabat dan jemaah yang banyak memberi motivasi serta membantu. Oleh itu, semakin hebat cabaran, maka semakin hebat kami tingkatkan usaha dakwah kerana yang hendak dimartabatkan ialah agama Allah SWT, jadi kita tidak boleh berhenti," katanya.

 


PENGASAS Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM) atau Mualaf Berbilang Bangsa, Firdaus Wong Wai Hung. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Islam kerana logik

Katanya, sirah nabi adalah pengubat terbaik dan bagi pendakwah itulah sepatutnya menjadi rujukan. Nabi Muhammad SAW bukan sahaja tidak diterima, malah dibaling batu, Nabi Lut tidak diterima isterinya, anak Nabi Nuh tidak mahu beriman dengannya manakala Nabi Ibrahim juga bapanya tidak menerima dakwah Baginda.

Menurut Firdaus, yang utama ialah semua umat Islam perlu bersedia berdakwah serta menyeru kemudian terserah kepada Allah SWT kerana Dia yang memberikan hidayah dan Allah SWT tidak akan tanya berapa ramai sudah kita Islamkan.

Memeluk Islam pada 2005, anak kelahiran Jinjang yang berhijrah ke Kuching, Sarawak kerana tugas, tertarik kepada Islam selepas mendengar penjelasan boleh diterima akal mengenai kewujudan Allah SWT daripada seorang sahabat di sana.

Disebabkan penjelasan dirasakan logik itu, beliau menjadi seorang Islam dan melaksanakan perintah agama seperti menunaikan solat, berpuasa, meninggalkan makanan yang diharamkan dan mematuhi beberapa perkara asas lain.

Bagaimanapun, pada 2011, beliau mula berjinak-jinak dengan mendalami ilmu mengenai Islam dan berguru dengan pendakwah, Hussin Yee. Uniknya, selepas mendalami serba sedikit mengenai Islam, hatinya terus membara untuk melakukan dakwah.

 


FIRDAUS melakukan aktiviti dakwah jalanan. - Foto Ihsan Pembaca


FIRDAUS Wong Wai Hung. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Dakwah jalanan

Apa yang menyuntik semangat beliau ialah kata-kata gurunya bahawa seorang Muslim itu bukan sekadar tahu kebenaran tetapi menerima kebenaran dan akur dengan kebenaran itu.

Andai tahu dan terima tetapi tidak akur, maka tiada bezanya Muslim itu dengan faham tetapi tidak mahu ikut (menterjemahkan pengetahuan dalam bentuk perbuatan).

Aktiviti dakwah beliau yang pertama ialah melakukan dakwah jalanan (street dakwah) menyeru umat Islam supaya tidak meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine's Day) dengan mengedarkan risalah berbunyi: "Kami Muslim lebih sayangkan Allah dan Rasul dan kerana itu kami tidak meraikan Valentine's Day."

Bergabung dengan 20 hingga 30 rakan yang ada antaranya tidak dikenali kerana hanya diajak melalui sebaran maklumat menerusi laman Facebook, mereka berkumpul di Jalan Bukit Bintang untuk menyebarkan risalah kepada orang ramai.

Kebanyakan menerima pendekatan itu, termasuk bukan Islam yang turut memuji usaha dilakukan mereka.

"Itulah pengalaman pertama saya melakukan kerja dakwah. Saya pilih dakwah jalanan kerana mereka yang ingin kita seru kebanyakan tidak hadir ceramah di masjid. Orang pergi masjid tidak raikan Valentine's Day, jadi kita pergi tempat di mana mereka ada," katanya.

Kini, aktiviti dakwah beliau menerusi MRM merentas sempadan negara dan bagi yang mengenali serta menjadi pengikut akaun Facebook Firdaus Wong Wai Hung, dapat mengikuti usaha beliau memberi kefahaman serta menjelaskan mengenai Islam di luar negara.

 


FIRDAUS bersama tokoh pendakwah terkenal Dr Zakir Naik. - Foto Ihsan Pembaca

Kongsi semangat

Antara negara telah sudah dikunjungi beliau untuk menjalin silaturahim dengan saudara Islam di sana dan mendekati golongan belum Islam ialah China, India, Australia, Singapura, Mesir, United Kingdom dan Uganda.

Baru kembali dari Uganda, Firdaus mengakui turut menimba pengalaman daripada semangat dakwah yang ditunjukkan umat Islam di sana yang tidak menjadikan kekurangan sebagai alasan untuk tidak berjihad di jalan Allah SWT sebaliknya ia menjadi pendorong mereka lebih berusaha memartabatkan Islam.

Katanya, mereka di sana mungkin tidak ada motosikal, kereta atau basikal tetapi dengan stokin koyak, baju berdebu, mereka berjalan 18 kilometer untuk menghadiri kelas kerana umat Islam di sana dahagakan ilmu.

Berbicara mengenai pendekatan untuk menarik orang ramai kepada Islam, beliau merujuk kepada wahyu Allah SWT yang menyuruh mencari persamaan supaya terjalin hubungan yang kuat. Ini diikuti dengan menyeru secara hikmah, menggunakan perkataan yang baik dan jika perlu, berdebat dengan baik.

"Di mana sahaja kita berdakwah tidak ada masalah. Mungkin ada perbezaan tetapi itu boleh dibincangkan dengan cara lemah lembut dan sopan santun. Orang tidak akan benci pada orang yang sopan santun," katanya.

1138 dibaca
Berita Harian X