Jumaat, 30 September 2016 | 10:08pm

125 program PKS, keusahawanan bernilai RM4.4b

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan 125 program pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta keusahawanan menerusi pelbagai kementerian dan agensi membabitkan komitmen kewangan bernilai RM4.4 bilion.

Menurut SME Corp Malaysia (SME Corp), program itu kebanyakannya tertumpu pada lima bidang tumpuan di bawah Pelan Induk PKS (2012-2020) iaitu penerapan teknologi dan inovasi, pembangunan modal insan dan keusahawanan, akses kepada pasaran, akses kepada pembiayaan serta infrastruktur.

"Pada 2015, kerajaan sudah melaksanakan 150 program pembangunan PKS dan keusahawanan membabitkan dana bernilai RM5 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih daripada 580,000 PKS," demikian menurut SME Corp menerusi Laporan Tahunan PKS 2015/16 yang dikeluarkan, hari ini.

Berdasarkan Kaji Selidik PKS Suku Pertama Tahun 2016 (saiz sampel 2,176 PKS), prestasi perniagaan PKS menunjukkan peningkatan secara berperingkat.

Laporan itu menjelaskan, lebih ramai responden mencatatkan peningkatan jualan dan keuntungan berbanding hasil Kaji Selidik PKS Suku Ketiga Tahun 2015.

"Melangkah ke hadapan, PKS menjangkakan peningkatan prestasi perniagaan secara berperingkat seperti dicerminkan melalui prospek jangka pendek yang lebih baik dan pesanan atau tempahan lebih tinggi yang diterima oleh responden kaji selidik," katanya.

Laporan itu menambah, perniagaan PKS juga berkemungkinan menghadapi tahun lebih mencabar berikutan kelemahan ekonomi global berterusan dan tahap ketidakpastian yang tinggi serta jangkaan pertumbuhan sederhana bagi ekonomi Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PKS diunjurkan berkembang pada kadar 5.0 - 5.5 peratus pada 2016 (2015: 6.1%).

"Pertumbuhan ini berdasarkan jangkaan berlakunya kemerosotan permintaan luar yang mendadak, turun naik dalam pasaran kewangan berikutan ketidaktentuan hala tuju dasar pasaran di negara maju serta kejatuhan permintaan dalam negeri luar jangka," menurut laporan itu.

Untuk rekod, dalam tempoh 2011-2015, KDNK PKS berkembang pada kadar tahunan purata 6.7 peratus berbanding pertumbuhan purata KDNK keseluruhan 5.3 peratus.

Hasilnya, sumbangan PKS kepada KDNK meningkat daripada 32.2 peratus pada 2010 kepada 36.3 peratus pada 2015, disokong oleh pertumbuhan PKS merentasi semua sektor ekonomi.

20 dibaca
Berita Harian X