Jumaat, 30 September 2016 | 8:17pm

KWSP naikkan sasaran minimum Simpanan Asas


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP). - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kuantum baharu Simpanan Asas, yang dinaikkan daripada RM196,800 kepada RM228,000 bermula 1 Januari tahun depan.

Jumlah itu akan ditetapkan sebagai jumlah sasaran simpanan minimum ahlinya apabila mencapai usia 55 tahun.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Nurini Kassim, berkata kuantum simpanan itu disemak secara berkala berdasarkan kadar pencen minimum pekerja sektor awam setiap tiga tahun atau yang mana terdahulu.

Katanya, inisiatif itu diambil berikutan pihaknya mengambil kira faktor kenaikan kos sara hidup, jangka hayat yang semakin panjang dan peningkatan kadar inflasi.

"Semakan semula Simpanan Asas ini memerlukan ahli untuk mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP untuk membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA-KWSP). 

"Skim ini memberikan ahli pilihan untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka menerusi pemindahan sebahagian simpanan dari Akaun 1.

"Simpanan itu akan dilaburkan dalam dana unit amanah atau mandat peribadi oleh Institusi Pelaburan Dana (IPD) yang dilantik di bawah SPA-KWSP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Simpanan Asas itu digunakan sebagai panduan kepada ahli untuk menentukan jumlah yang boleh dipindahkan untuk pelaburan di bawah skim ini.

"Bermula 1 Januari 2017, jumlah simpanan yang layak dilaburkan di bawah SPA-KWSP dinaikkan tidak melebihi 30 peratus melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 daripada kadar semasa 20 peratus.

"Sebelum menyertai skim ini, ahli perlu rujuk kepada dokumen pendedahan untuk memahami produk pelaburan, selain digalakkan berunding dengan penasihat kewangan terlebih dahulu.  

"Ahli yang mempunyai i-Akaun juga boleh rujuk kepada Portal Informasi SPA-KWSP untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana unit amanah di bawah skim ini serta IPD yang mengurus dana berkenaan," katanya.

 

Berita Harian X