Jumaat, 30 September 2016 | 7:36pm

Darren Choy Pengerusi baharu RIM


PENGARAH Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy, dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang baharu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, Darren menggantikan Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim, yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi persatuan terbabit sejak 2010.

Anggota kumpulan KRU yang turut bergelar produser filem itu juga ialah Ahli Lembaga RIM sejak 2004.

Sepanjang kerjayanya, Darren memegang beberapa jawatan kanan bagi syarikat rakaman antarabangsa dan syarikat sukan ternama seperti EMI Music Malaysia dan Adidas Asia Tenggara.

Ketika berkhidmat bersama EMI, Darren bertanggungjawab mengetengahkan beberapa artis popular tanah air seperti Ella, Awie, Too Phat, Ruffedge, VE, Innuendo, OAG, Fauziah Latiff, Alyah dan Vince.

Norman pula akan terus berkhidmat sebagai ahli lembaga dalam Lembaga Pengarah Sedunia dan Lembaga Pengarah Eksekutif Asia IFPI, sebuah organisasi antarabangsa yang mewakili industri rakaman di seluruh dunia.

"Saya amat bertuah kerana dapat berkhidmat untuk industri rakaman Malaysia dan akan terus menyumbang melalui tugas serantau serta sedunia bersama IFPI.

"Saya bersyukur atas segala sokongan diberikan kepada saya dan saya yakin, industri muzik Malaysia akan terus membangun dari segi nilai dan sumbangannya kepada ekonomi negara dan masyarakat di bawah keupayaan serta kepemimpinan Darren," kata Norman.

Darren pula berkata, mereka terhutang budi kepada Norman, antara wakil industri muzik paling dikenali.

"Kita semua banyak memanfaatkan pandangan dan wawasan beliau dalam menggabungkan kreativiti serta pembangunan untuk industri.

"Bagi pihak ahli RIM, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Norman atas sumbangan beliau dan kami berharap kerjasama pada peringkat serantau dan antarabangsa akan berterusan.

"Saya pula amat menghargai keyakinan dan kepercayaan diberikan oleh industri ini kepada saya untuk sekali lagi memimpin usaha RIM dalam memelihara kepentingan industri rakaman Malaysia. Kita akan terus membangunkan industri di atas asas yang dibina oleh pimpinan yang lalu.

"Saya berharap akan terus mendapat kerjasama ahli lembaga dan pengurusan RIM untuk memacu pembangunan yang lebih teguh dan memupuk kerjasama antara semua penggiat industri serta pihak kerajaan," katanya.

Melalui pengalaman beliau yang pernah menjadi Pengerusi RIM dari tahun 2002 hingga 2004 dan juga di dunia korporat, Darren akan sekali lagi mengetuai

usaha utama RIM dalam isu perundangan, hubungan antarabangsa, penganjuran kempen kesedaran dan publisiti.

Selain itu, menerajui pembangunan industri muzik, termasuk dalam bentuk digital, acara secara langsung, pengurusan artis, dan penganjuran acara anugerah kebangsaan industri muzik, Anugerah Industri Muzik (AIM).

Pada sesi pemilihan kepemimpinan RIM bagi penggal 2016 - 2018, semalam, turut terpilih ialah Rosmin Hashim daripada Nova Music sebagai Naib Pengerusi; Datin Dr Shireen Mardziah Hashim (KRU Music / Setiausaha) dan Edwin Tan (Suria Records / Bendahari).

Ahli Lembaga RIM yang lain ialah Ng Cheong Hock (Life Records), Anthony Gan (New Southern Records), Albert Kang (Form Records), Tan Chongyi (Rock Records), Kenny Ong (Universal Music) dan Julius Ng (Sony Music).

Berita Harian X