Jumaat, 30 September 2016 | 6:40pm

Debat Parlimen British di IPGKIK


PENGARAH IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali (sembilan dari kiri) bersama Sekretariat Penganjur menunjukkan logo rakan kolaboratif selepas mengumumkan senarai pasukan pendebat DeTIK 2016 di IPGKIK, Cheras, Kuala Lumpur.- Foto ihsan IPGKIK

KUALA LUMPUR: Sebanyak 60 pasukan debat ala parlimen British daripada seluruh universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi bersidang dalam Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) 2016 di Kampus Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, di sini pada pada 7 hingga 10 Oktober 2016 ini.

Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, berkata daripada jumlah itu, 30 pasukan mewakili UA, 12 politeknik, masing-masing lapan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) serta masing-masing sebuah Kolej Universiti dan Maahad Taafiz.

Katanya, DeTIK 2016 mengetengahkan format debat ala parlimen British, yang dianggotai oleh dua orang sepasukan pada pusingan awal, manakala empat pasukan akan berentap minda dan kepetahan berkomunikasi dalam pertandingan akhir.

Beliau berkata, penyertaan DeTIK meningkat pada setiap tahun berbanding 40 pasukan tahun lalu berikutan jenama program itusemakin kukuh dan dikenali oleh pendebat seluruh negara khususnya menerusi kerjasama Majls Debat Universiti Malaysia (MADUM) yang mempromosikan acara ini dalam kalangan ahli mereka.

"Apa yang penting, penyertaan dalam DeTIK ini memberikan peluang kepada mahasiswa melontarkan idea dan berhujah secara berhemah mengenai isu pendidikan semasa, termasuk kepemimpinan muda yang menjadi tema usul perdebatan tahun ini," katanya kepada BH, hari ini.

Selain MADUM, DeTIK 2016 turut mendapat sokongan daripada rakan kolaboratif, termasuk Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Belia Antarabangsa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Tentera Malaysia, UMNO Bandar Tun Razak, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Gardenia serta Dazs Donuts and Coffee.

Pertandingan Akhir DeTIK bakal disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan pada 10 Oktober ini.

Berita Harian X