Jumaat, 30 September 2016 | 4:15pm

KPWKM giat kumpul data bantu TASKA

IPOH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengumpul data lengkap setiap TASKA di seluruh negara bagi membolehkan kerajaan membuat kajian menyeluruh untuk membela nasib pengusaha kemudahan itu.

Timbalan Menterinya, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata data lengkap diperlukan berikutan ada pengusaha TASKA 'gulung tikar' sejak pelaksanaan gaji minimum RM1,200 terhadap kakitangan TASKA.


TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fu. - Foto Halim Salleh

Katanya, data menyeluruh dikumpulkan termasuk laporan berkaitan kanak-kanak, sewa, yuran, pengasuh dan perbelanjaan di kemudahan berkenaan.

"Kita sudah menerima banyak aduan daripada pengusaha memaklumkan mereka sudah tidak dapat lagi meneruskan perkhidmatan TASKA selepas gaji minimum dilaksakanakan.

"Oleh itu, kita memerlukan data yang lebih menyeluruh bagi menunjukkan kepada kerajaan berkenaan kos, keuntungan dan kerugian yang dihadapi pengusaha TASKA," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim merasmikan Mesyuarat Kolaborasi Kebangsaan Ke-18 (NCM#18) Persatuan Negeri dan Daerah di sini hari ini.

Mei Fun berkata, pihaknya tidak menafikan ada TASKA terpaksa ditutup sejak pelaksanaan gaji minimum itu namun pihaknya belum mempunyai satu jumlah yang tepat dan masih membuat siasatan lanjut.

Berita Harian X