Jumaat, 30 September 2016 | 3:23pm

7 warga asing miliki MyKad palsu ditahan


ANGGOTA JPN menahan membabitkan lima lelaki dan perempuan dari selatan Filipina dan Indonesia dipercayai memilki Mykad palsu dan memiliki kad pengenalan orang lain dalam serbuan Ops ID di Flat Taman Rinting dan Flat Taman Masai Utama. - Foto Mohd Azren Jamaludin

PASIR GUDANG: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan tujuh warga asing selepas dipercayai memiliki MyKad palsu dalam beberapa serbuan dekat sini, awal pagi tadi.

Berusia antara 20 hingga 55 tahun, mereka ditahan dalam Ops ID di Flat Taman Rinting, Kampung Masjid dan Flat Taman Masai Utama, di sini.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Mohamad Yusri Hashim, berkata penahanan membabitkan lima lelaki dan dua perempuan dipercayai dari selatan Filipina dan Indonesia.

"Siasatan mendapati enam daripada mereka menggunakan MyKad palsu, manakala seorang lagi ditahan kerana memiliki kad pengenalan orang lain.

"Ada antara mereka mengaku membeli MyKad palsu dengan harga antara RM300 hingga RM1,000 daripada sindiket," katanya di sini, hari ini.

Mohamad Yusri berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, Ops ID yang dijalankan bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi, membabitkan kekuatan 80 pegawai dan anggota dari JPN, Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Berita Harian X