Rabu, 26 November 2014 | 12:53pm

Messi tekad bantu Barcelona juarai kumpulan


PENYERANG Barcelona, Lionel Messi meraikan kejayaan berjaya membolosi gawang Apeol Nicosia, awal pagi tadi. - Foto AFP

NICOSIA: Segar daripada kejayaan muncul penjaring terbanyak dalam sejarah kancah Liga Juara-Juara, Lionel Messi kini mensasarkan kejayaan ke atas Paris Saint-Germain untuk menjuarai Kumpulan F.

Awal pagi tadi, bintang Argentina itu menjaringkan hatrik membantu Barcelona membenam APOEL Nicosia 4-0 di laman lawan.

Gergasi bola sepak Sepanyol itu harus menewaskan juara Perancis itu pada 10 Disember ini untuk mengelak pertemuan dengan pasukan elit lain seperti Bayern Munich dalam saingan kelompok 16 terakhir.

Messi menekankan betapa penting perlawanan menentang lawan di gelanggang sendiri nanti sambil tidak mahu memikirkan mencipta satu rekod lagi selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam La Liga.

"Saya gembira mencapai rekod hebat ini dalam kejohanan yang penting.

"Namun, apa lebih penting adalah tiga mata yang kami menang hari ini," kata penyerang prolifik berusia 27 tahun itu.

Mengenai pertemuan dengan PSG, Messi menambah: "Kami akan akan terus cuba mencapai objektif ini dan kekalkan rentak permainan ini.

"Ia pasti satu perlawanan sukar. Kami sudah pun bermain di Paris dan kalah. Lawan memiliki pemain yang bagus dan pasukan itu makin liat setiap masa.

"Tapi kelebihan kami adalah beraksi di gelanggang sendiri dan kami harus pastikan kami akan menang dan menjuarai kumpulan ini."

Selain jaringan hatrik Messi pada minit ke-38, 58 dan 87, satu lagi gol Barcelona adalah sumbangan bekas bintang Liverpool, Luis Suarez.

Ini adalah gol pertama baginya dalam lima kemunculan untuk kelab baharu selepas berpindah dari Anfield, Julai lalu. - AFP

Berita Harian X