Jumaat, 30 September 2016 | 12:16am
MARK Adam sentiasa bersikap terbuka terhadap komen daripada netizen, selain sentiasa menjaga hubungan dengan peminat. Pix Nurul Syazana Rose Razman.

Isteri dan rakan jadi guru bahasa kepada Mark Adam


PENYANYI, Mark Adam, 37, berasa cukup bertuah apabila beliau diterima baik peminat di negara ini, walaupun dirinya bukanlah warga Malaysia.

Menyedari tiada apa-apa keistimewaan pun diberikan kepada artis asing sepertinya, namun ia tidak menghalang Mark, yang kini turut bergelar pelakon, untuk terus melebarkan sayapnya seni di sini.

Katanya, biarpun beliau orang luar, dirinya tetap dapat berasakan kesamarataan yang wujud dalam industri hiburan Malaysia.

Pada masa sama, Mark enggan leka dengan segala nikmat diperoleh sekarang, sebaliknya lelaki ini berusaha untuk menguasai bahasa Malaysia dengan lebih baik, agar bakatnya terus diterima dan namanya pula kukuh bertapak di arena berkenaan.

"Saya berasa selesa dan bertuah berada dalam industri seni Malaysia. Walaupun tidak begitu fasih berbahasa Malaysia, saya tetap diterima peminat.

"Sebagai orang asing, saya sendiri tidak berasakan ada perbezaan taraf atau kelebihan berbanding artis lain. Apa yang saya dapat di sini sudah cukup memberikan saya keselesaan," katanya.

MARK Adam simpan impian untuk berduet dengan penyanyi terkenal seperti Datuk M Nasir, Man Bai dan Datuk Siti Nurhaliza. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bagi memastikan beliau kekal relevan, lelaki ini menggunakan formula menjadi dirinya sendiri, selain sentiasa berusaha memperbaiki kemampuan.

Begitu juga beliau sentiasa bersikap terbuka terhadap komen diberikan netizen, di samping menjaga perhubungan baik dengan peminat. Semua itu, katanya, harus dilakukan bagi memastikan bakatnya terus diterima masyarakat Malaysia.

"Saya masih belajar menguasai Bahasa Malaysia. Alhamdulillah, sehingga kini sudah ada peningkatan.

"Sebagai orang luar pula, saya kena hormati artis tempatan dan untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri, kita kena jaga dan sayang peminat.

"Saya sendiri adalah seorang peminat dan apabila nampak artis-artis Malaysia yang saya suka, saya akan belajar daripada mereka dan ia juga antara rahsia untuk menguatkan kedudukan saya dalam industri di sini," katanya.

Tidak berkecil hati mahupun terasa apabila dirinya pernah dilabel netizen sebagai setaraf pekerja warga asing di negara ini, Mark menegaskan beliau tak ambil pusing komen sedemikian.

DEMI mengukuhkan kedudukan dalam dunia seni, Mark Adam terus berusaha mengukuhkan penguasaan bahasa Malaysia. Foto Nurul Syazana Rose Razman

BERASAL dari Filipina, Mark Adam selesa dengan penerimaan peminat tempatan di Malaysia. Pix Nurul Syazana Rose Razman /BH]

Sebaliknya, beliau hanya memandang serius komen positif yang mampu memperbaiki bakat seni dan mempertingkatkan penguasaan bahasanya.

"Saya terima komen negatif mengenai penguasaan bahasa saya sebagai proses pembelajaran. Saya pula memang tidak pernah ambil kelas kerana lebih selesa belajar sendiri, dengan memperbanyakkan pembacaan dan membuat rujukan.

"Kalau ada yang tidak faham, saya akan bertanyakan pada isteri dan kawan. Malah, saya juga menjadikan laman sosial Twitter sebagai tempat untuk bertanya kepada pengikut saya," katanya.

Tampil dengan single terkini, Hanya Dirimu, yang menyaksikannya berduet dengan Eleena Haris, Mark yang ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi Mixology vs Octave di Petaling Jaya, baru-baru ini turut memberitahu dirinya kini dalam perancangan menghasilkan album kedua.

Masih dalam proses menyiapkan empat lagu baharu, Mark merancang untuk menerbitkan album berbahasa Malaysia sepenuhnya itu tahun depan. Selain dirinya, beliau juga bercadang menggunakan khidmat komposer baharu bagi memperkayakan album berkenaan.

"Bagi single duet ini, DJ Fuzz yang memutuskan untuk menggandingkan saya dengan Eleena. Saya sukakan konsep muziknya yang berentak lama, tetapi mendapat suntikan pop baharu. Saya memang penggemar lagu-lagu lama seperti The Bee Gees dan Frank Sinatra, sebab itu saya terima untuk berduet dalam lagu ini.

"Tak susah sebenarnya untuk saya menyanyi karya berentak lama sebab sejak kecil pun bapa sering memperdengarkan saya dengan lagu sedemikian," katanya yang menyimpan impian untuk berduet dengan Datuk M Nasir, Man Bai dan Datuk Siti Nurhaliza.

MARK Adam ketika pelancaran album Mixology Vs Octave. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman.

Turut merancang untuk menghasilkan single dalam bahasa Tagalog, Mark yang popular dengan lagu Marry Me berkata, selain nyanyian, dirinya agak bertuah apabila percubaannya di bidang lakonan turut mendapat perhatian peminat.

Menganggap persembahannya di depan kamera semakin meningkat, beliau yang kini menjalani dua penggambaran telefilem juga tiada masalah jika dirinya dilabel pelawak selepas menyertai sebuah program realiti komedi, baru-baru ini.

"Saya tak kisah dilabel sebagai pelawak sebab saya masuk bidang ini pun untuk menghiburkan orang, setakat terdaya," katanya.

Berita Harian X