Jumaat, 30 September 2016 | 12:06am

Sedekah tidak sucikan harta daripada sumber haram


SEDEKAH daripada sumber yang halal dan berkualiti menjanjikan pulangan berganda. - Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu) kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji." (Surah al-Baqarah, ayat 267)

Ibnu Abbas berkata, dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan orang beriman menginfakkan harta daripada sumber yang baik, berkualiti dan melarang bersedekah dengan sesuatu yang buruk, rendah mutu atau tidak elok kerana Allah SWT tidak akan menerima melainkan sesuatu yang baik.

Allah SWT menyeru hamba-Nya mengeluarkan zakat daripada sumber yang halal. Ibn Jarir dan lain-lain meriwayatkan, ayat ini diturunkan mengenai beberapa sahabat mengasingkan hasil tamar antara yang elok dengan yang rosak. Apabila datang pemungut zakat, mereka berikan tamar yang rosak.

Sedekah sumber berkualiti

Ibn Kathir meriwayatkan dengan isnadnya daripada Al-Bara' bin 'Azib, katanya, ayat ini dinuzulkan mengenai orang Ansar. Kebiasaannya apabila tiba waktu memetik buah kurma, mereka mengeluarkan dari kebun mereka tamar muda yang belum matang lalu digantungkan di antara dua tiang di Masjid Nabawi, kemudian dimakan oleh orang Muhajirin yang miskin.

Perkataan tayyibah ertinya baik, suci dan halal sama ada dari segi bahan, sumber pendapatan atau cara penghasilannya. Maksud ayat ini ialah infak hendaklah dikeluarkan daripada harta yang baik dan bermanfaat serta halal penggunaannya.

Justeru, wajib memilih barang dan hasil pendapatan yang bermutu untuk diinfakkan di jalan Allah SWT sama ada atas nama zakat yang diwajibkan atau sedekah sunat dengan niat mendapatkan pahala serta keredaan Allah SWT semata-mata.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi." (Surah Ali-Imran, ayat 92)

Harta tidak suci diperoleh daripada sumber haram atau syubhat tidak layak dijadikan sedekah dan dibuat kebajikan dengannya lantaran amal kebajikan tidak dapat menyucikan harta yang haram.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah 'Azzawajalla tidak menghapuskan dosa dengan dosa, tetapi menghapuskan dosa dengan amal kebajikan. Kejahatan tidak menghapuskan kejahatan." (Riwayat Ahmad)

As-Syahid Sayyid Qutb ketika memberi tafsiran ayat ini menyebut, ini adalah satu seruan umum kepada orang beriman di setiap zaman dan generasi. Ia meliputi harta kekayaan yang dapat dicapai oleh daya tenaga serta hasil pendapatannya yang halal dan baik, meliputi hasil bumi seperti pertanian, termasuk logam petrol.

Nas ini meliputi segala jenis harta yang diketahui pada zaman Rasulullah SAW atau harta baru diketahui selepas zaman Baginda, semuanya diwajibkan zakat.

Dr Abdul Hayei Abdul Shukor dalam tafsir Pedoman Mutaqqin berpendapat, ungkapan hasil usaha kamu merujuk kepada hasil perniagaan serta upah daripada perkhidmatan seperti menjadi pegawai, pensyarah dan pendidik.

Ungkapan 'dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu' merujuk kepada pendapatan yang diusahakan daripada perut bumi seperti pertanian, perkilangan dan penternakan.

Menurut Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan Dr Hussein Syahatah, zakat gaji dan pendapatan diistilahkan sebagai zakat al-Mal al-Mustafad, iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan profesional.

Ganjaran pada hari kiamat

Zakat gaji dan pendapatan termasuk segala hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, perniagaan bermusim dan lain bentuk perolehan semasa hidup.

Al-Maraghy dalam tafsirnya menyebut, mengapa kamu memberikan yang buruk untuk didermakan padahal kamu sendiri tidak suka menerimanya, malah kamu pasti jijik dan memejamkan mata supaya tidak melihat kejelekan barang itu.

Bagi memastikan infak mendapat pulangan faedah yang berganda pada hari akhirat, penginfak hendaklah menyempurnakan syarat infak, iaitu infak di jalan Allah SWT dan demi menegakkan agama-Nya. Hendaklah tidak mengungkit-ungkit infak yang diberi dan tidak melukakan hati penerima.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X