Khamis, 29 September 2016 | 6:58pm

Rotavirus: Sampel ujian air BMLR siap 2 hari


RUANG legar utama Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) yang sepi berikutan taman tema air ditutup selama dua hari bagi memberi laluan kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan siasatan berhubung jangkitan Rotavirus yang melibatkan tujuh mangsa dari Kedah ketika bercuti. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

IPOH: Keputusan ujian sampel air yang diambil di kawasan taman tema air Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) berikutan kes jangkitan Rotavirus dijangka diperolehi dalam tempoh dua hari.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata, sampel air berkenaan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, Selangor, hari ini untuk ujian lanjut.

"Persampelan air juga dijalankan oleh Unit Kawalan Mutu Air Minuman (KMAM) Pejabat Kesihatan Daerah Kerian (PKD) Kerian, semalam.

"Sebanyak 14 sampel diambil bagi memeriksa sama ada terdapat klorin dan kuman, manakala lima lagi sampel diambil oleh pihak MKAK," katanya kepada pemberita, di sini, sebentar tadi.

Dr Juita berkata, arahan penutupan lokasi aktiviti air di BMLR mulai dibuat mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Kita hanya menutup bahagian yang mempunyai kaitan dengan aktiviti air sahaja, manakala kawasan yang lain dibuka untuk umum," katanya.

Berita Harian X