Khamis, 29 September 2016 | 4:16pm

MH17: Waris serah kerajaan ambil tindakan perundangan

MUAR: Keluarga seorang mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17, menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan berhubung tindakan perundangan terhadap pihak bertanggungjawab atas insiden itu.

Md Salim Sarmon, 66, bapa kepada Allahyarham Mohd Ali Md Salim, 30, berkata sebagai keluarga, pihaknya mahu tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.

Walaupun sudah dua tahun insiden itu berlalu, katanya, ingatan terhadap arwah anaknya tidak pernah pudar.

"Saya tahu mengenai perkembangan terbaru itu dan saya harap kerajaan atau pihak berkaitan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu.

"Terima kasih pada kerajaan yang prihatin terhadap waris mangsa penumpang dan anak kapal MH17 yang mahu membawa perkara dan penemuan terbaru ini ke muka pengadilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas beliau membawa BH melawat kubur Allahyarham Mohd Ali, antara penumpang MH17, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh di sini, hari ini.

Md Salim berkata, meskipun kesihatannya sedikit terganggu ekoran insiden itu, beliau tetap tabah dan reda dengan pemergian anaknya itu.

Semalam, Pasukan Siasatan Bersama (JIT) mengesahkan pesawat MAS MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Russia yang dilancarkan dari sebuah perkampungan dikuasai kumpulan penentang tentera Ukraine di timur negara itu.

Penemuan itu bertentangan dengan kenyataan Moscow yang mendakwa pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 itu, ditembak jatuh oleh tentera Ukraine.

Semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh dalam kejadian itu, termasuk Mohd Ali yang mengikuti pengajian peringkat PhD di Universiti Erasmus Rotterdam.

Berita Harian X