Khamis, 29 September 2016 | 12:35pm

Syukur diberi rezeki hamil lagi - Puteri Sarah

SYAMSUL bersama isterinya, Sarah yang kini hamil tiga bulan.

KUALA LUMPUR: Pernah mengalami keguguran dua tahun lalu, Puteri Sarah Liyana, 30, melahirkan kesyukuran apabila dirinya diberikan rezeki untuk hamil lagi.

Semalam, suaminya yang juga pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof, 32, mengesahkan Sarah kini berbadan dua dan kandungannya itu hampir memasuki usia tiga bulan.

Kedua-duanya kini berada di Jakarta, Indonesia, bagi menghadiri majlis tayangan gala filem Munafik bersama-sama penerbit, Datuk Yusof Haslam, dan beberapa pelakon lain. Mereka dijadualkan pulang ke ibu kota pada malam ini.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira dan tidak sangka rezeki (untuk hamil) datang lagi selepas dua tahun menanti, selain pernah mengalami keguguran.

"Jika diikutkan, sudah tentu saya menginginkan anak perempuan, manakala suami pula mahukan zuriat lelaki. Nampaknya, kita sama-sama kena tunggu, nasib lebih menyebelahi siapa nanti? Apa yang lebih penting, anak kami nanti sihat walafiat," katanya kepada BH Online menerusi kiriman WhatsApp.

Menurut Sarah yang menjalankan perniagaan butik pakaian Muslimah di Bangsar, demi kesihatan kandungan, beliau kini mengikut nasihat suami supaya tidak lagi bekerja kuat mahupun bergerak aktif.

"Sudah dua bulan lebih saya tidak ke butik. Saya cuma ke sana apabila benar-benar perlu berbuat begitu. Saya ingin menjaga kandungan pada peringkat awal ini dengan sebaik-baiknya. Doakan semoga semuanya dipermudahkan," katanya yang berkahwin dengan Syamsul pada Mac 2014.

Terdahulu, Syamsul yang juga pengarah dan pelakon Munafik menerusi kenyataannya mengakui mengambil alih tugas menjaga isteri. Beliau berbuat demikian bagi memastikan Sarah berkeadaan baik hinggalah ke saat melahirkan bakal anak mereka.

Syamsul juga berkata dirinya berusaha memenuhi segala permintaan Sarah sekiranya isterinya itu mengidam.

Berita Harian X