Rabu, 28 September 2016 | 3:25pm

Pelancong dipindahkan susulan gunung berapi meletus


Naib Presiden Keselamatan Siber Dimension Data, Mark Thomas. - NSTP/Supian Ahmad

JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia dikerah untuk memindahkan hampir 400 pelancong, sebahagian besarnya warga asing, selepas gunung berapi di salah satu destinasi mendaki paling popular di negara ini meletus, kata pegawai.

Gunung Barujari yang mula meletus lewat petang Selasa lalu, melepaskan debu dan asap hingga 2 kilometer ke udara meliputi Pulau Lombok, kawasan pelancongan terkemuka di timur Bali.

Dianggarkan hampir 400 orang sedang melakukan aktiviti hiking berhampiran Barujari, gunung lebih kecil di dalam kawah Gunung Rinjani, memaksa pihak berkuasa segera bertindak, kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

"Pasukan penyelamat sudah dihantar ke Gunung Rinjani untuk memindahkan pelancong," katanya.

Pejalan kaki juga diminta untuk berada sekurang-kurangnya 3 kilometer dari gunung berapi yang sedang meletus.

Menurut Nugroho, seramai 389 pejalan kaki direkodkan memasuki taman negara sejak Ahad lalu, majoritinya warga asing.

Walaupun kebanyakan pelancong akan menggunakan laluan biasa ke puncak, pasukan penyelamat mengesyaki ada pejalan kaki yang memilih jalan lain, kata Nugroho.

Tiada sebarang gangguan penerbangan direkodkan setakat hari ini akibat awan debu, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Hemi Pramuraharjo kepada AFP.

Beberapa penerbangan keluar masuk dari pulau Bali dibatalkan serta-merta, tetapi lapangan terbang antarabangsa di Lombok tidak terjejas.

Letusan di Gunung Rinjani bulan lalu memaksa penutupan lapangan terbang Lombok dan mengganggu beberapa penerbangan ke Bali. - AFP

Berita Harian X