Rabu, 28 September 2016 | 1:03pm

Piala AFC: JDT berdepan Bengaluru FC tanpa Kunanlan

PEMAIN JDT, Pereyra Diaz (dua dari kiri) bersama rakan sepasukan, S Kunanlan ketika sesi latihan di Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, Johor Bahru, kelmarin. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez mengesahkan terpaksa melupakan khidmat pemain bek kanan S Kunanlan pada aksi separuh akhir pertama Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Gomez berkata, Kunanlan perlu direhatkan untuk perlawanan itu selepas mengalami kekejangan otot ketika aksi menentang South China AA dalam saingan suku akhir kedua, 20 September lalu dan tempatnya bakal diisi Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Malah, beliau juga berharap kapten Safiq Rahim yang turut mengalami kecederaan ketika pertembungan dengan kelab dari Hong Kong itu pulih sepenuhnya dan akan memutuskan sama ada pemain itu boleh beraksi atau tidak sebelum pertembungan menentang kelab dari India itu, malam ini.

"Kunanlan masih mengalami kecederaan tetapi keadaan Safiq tampak semakin pulih dan mungkin boleh diturunkan, namun saya perlu tengok keadaannya ketika sesi latihan terakhir.

"Beberapa pemain saya sudah mengumpul kad kuning pada aksi suku akhir pertama di Hong Kong dan suku akhir kedua di Larkin tetapi saya tidak mahu mereka bersikap terlalu berhati-hati sebaliknya beraksi seperti biasa dan kekalkan corak permainan konsisten.

"Barisan pemain yang bakal diturunkan tetap sama tiada perubahan di posisi serangan dengan mengekalkan Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz mengemudi jentera serangan.

"Azammuddin Akil dan Mohd Azinee Taib kemungkinan akan diletakkan di posisi sayap kanan," katanya.

Mengulas mengenai keupayaan JDT mengalah Bengaluru FC dua kali pada aksi Kumpulan H selepas menang 1-0 di Bangalore, India dan kemudian 3-0 di Larkin, Gomez menganggap pencapaian itu sudah tinggal sejarah sebaliknya aksi separuh akhir pasti berbeza.

Katanya, skuad itu sudah berwajah baharu dengan formasi permainan berbeza tatkala dalam aksi peringkat kumpulan formasi yang dipraktikkan 5-3-2 dan kini di bawah kendalian Albert Roca yang gemar beraksi dengan formasi 4-4-2.

"Saya melihat sendiri corak permainan pasukan itu ketika menentang Tampines Rovers di Singapura dan mereka memiliki dua pemain import baharu dari Sepanyol iaitu Juan Antonio Gonzales di posisi pertahanan dan pemain tengah, Alvaro Rubio.

"Kedua-dua pemain itu amat bagus. Apa pun kami letak sasaran untuk menang pada pertembungan 180 minit perlawanan dan 90 minit pertama di Larkin, kami kena cari bekalan selesa sebelum beraksi baki 90 minit lagi di India," kata Gomez.

Berita Harian X