Rabu, 28 September 2016 | 9:55am

Liga Juara-Juara: Son Heung-min julang Spurs


PEMAIN sayap Korea Selatan, Son Heung-min. - Foto Reuters

MOSCOW: Pemain sayap Korea Selatan, Son Heung-min membantu kempen Tottenham Hotspur dalam Liga Juara-Juara dengan kemenangan 1-0 di CSKA Moscow, hari ini.

Son memperoleh hantaran oleh Erik Lamela selepas minit ke-71 bagi menjaringkan gol kelimanya dalam lima perlawanan bagi kelab utara London itu.

Memperoleh tiga mata, Tottenham kini di tempat kedua dengan satu mata ketinggalan di belakang pasukan Ligue 1, Monaco yang seri 1-1 menentang pasukan Bundesliga, Bayer Leverkusen dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E.

"Kami bermain lebih bagus (menentang Monaco) tetapi ia adalah perlawanan yang sukar seperti mana selalu sukar bermain di sini di Moscow," kata pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino.

"Ia adalah sangat penting bagi kami memperoleh tiga mata di sini kerana kami berada dalam kedudukan mesti menang."

Kembali dalam Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh lima tahun, Tottenham mendominasi penguasaan bola dalam separuh masa pertama tetapi juara Russia bertahan dengan begitu baik bagi menghalang usaha serangan lawan.

Dele Alli begitu hampir menjaringkan gol selepas minit ke-35 tetapi sepakan padunya daripada luar kotak penalti tersasar dengan penjaga gol CSKA, Igor Akinfeev tidak dapat berbuat apa-apa.

Seminit kemudian, penyerang Belanda, Vincent Janssen - bermain bagi menggantikan Harry Kane - memperoleh bola dalam kawasan pasukan tuan rumah dan membuat percubaan mengatasi Akinfeec namun usahanya gagal selepas berada pada posisi ofsaid. - AFP

Berita Harian X