Rabu, 26 November 2014 | 10:25am

10 tahun perkasa kuasa pengguna bidang standard

Pembangunan sesebuah dokumen standard memerlukan pembabitan pelbagai pihak berkepentingan, seperti agensi kerajaan, industri, ahli akademik dan wakil pengguna.

Begitu juga, permohonan untuk sesuatu standard selalunya dibuat oleh pihak industri kerana mereka perlu mematuhi sesuatu keperluan sebuah negara apabila ingin mengeksport produk mereka ke negara berkenaan.

Sebagai negara yang menuju ke arah hab halal serantau, banyak dokumen standard halal perlu dibangunkan untuk keperluan pensijilan halal Malaysia. Oleh itu, pembabitan pengguna dalam pembangunan standard amat diperlukan.

Tubuh Standards Users

Atas keperluan itu, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia atau singkatannya Standards Users ditubuhkan pada September 2004 dengan sokongan daripada Jabatan Standard Malaysia dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Pada tahun 2014, Standards Users menyambut ulang tahunnya yang ke-10. Sejak penubuhannya, Standards Users telah berperanan untuk mewakili dan memperkasakan kuasa pengguna dalam bidang standard.

Antara matlamat Standards Users ialah:

* Menggalakkan Pematuhan tandard Keselamatan Produk Pengguna dan Perkhidmatan;

* Mempermudahkan dagangan produk dan perkhidmatan pengguna yang selamat;

* Memajukan Pendidikan Standard; dan

* Pusat Sumber Serantau bagi Tanggungjawab Sosial berdasarkan ISO 26000 : 2010.

Sejak penubuhannya, Standards Users antara pertubuhan sivil pertama menganjurkan mesyuarat dan plenari ISO Consumer Policy Committee di Asia pada 2006. ISO adalah badan standard antarabangsa (International Organization for Standardization).

Pada 2007, Standards Users dengan kerjasama Japanese Standard Association (JSA), METI Jepun dan Japanese Industrial Standards Committee telah menubuhkan sebuah rangkaian untuk membina kapasiti dalam kalangan badan-badan standard nasional di negara Asia dalam bidang standardisasi antarabangsa.

Rangkaian ini dikenali sebagai Asian Network for Consumer Participation in International Standardisation atau ANCO.

Pada 2014, Standards Users telah dilantik sebagai Agensi Pembangunan Standard (SDA) oleh Jabatan Standard Malaysia, bagi mengiktiraf kepakaran dan keupayaannya dalam membangunkan standard di bawah Jawatankuasa Standard Perindustrian Kepentingan Pengguna (ISC C).

Melalui SDA, standard akan dibangunkan lebih efektif di samping memenuhi keperluan industri tempatan dengan mengambil kira amalan terbaik dunia.

Jelajah Standard

Jabatan Standard Malaysia dan Standards Users menjalankan beberapa aktiviti kesedaran standard kepada pengguna. Antaranya program Jelajah Standard yang membabitkan pelajar yang bertanding dalam program kesedaran dan sepuluh sekolah terbaik Malaysia akan layak ke peringkat nasional, iaitu Olympiad Standard.

Pada Ogos 2014, Kerajaan Korea telah menjemput Malaysia untuk bertanding di Standard Olympiad Antarabangsa yang pertama. Malaysia menerusi pemenang tempat pertama dan kedua pertandingan Olympiad Standard 2013 peringkat kebangsaan memenangi pingat emas dan perak.

Standards Users juga telah membangunkan modul pendidikan untuk pengguna muda iaitu The Young Consumers and Standards Workbook Series dan World of Standards.

Kedua-dua bahan rujukan masih dirujuk sebagai amalan terbaik dalam repositori rujukan ISO. Salah satu aktiviti penting yang dijalankan oleh Standards Users ialah SPEAK UP, singkatan kepada Socially Responsible Citizenship Program. Program ini mula diperkenal pada tahun 2011.

SPEAK UP menyediakan platform untuk peserta, terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi untuk menyuarakan pandangan dan idea dalam komuniti mereka.

Seterusnya peserta mencadangkan cara untuk menyelesaikan isu ini dengan menggunakan standard dan dengan pembabitan pihak berkepentingan sebagai contoh kerajaan tempatan, agensi kerajaan dan swasta dalam mencari penyelesaian.

Peranan Standards Users dalam pembangunan standard di peringkat antarabangsa telah mendapat pengiktirafan apabila Setiausaha Agungnya, Ratna Devi Nadarajan dilantik sebagai pengerusi bagi Jawatankuasa ISO bagi Polisi Pengguna (ISO/COPOLCO) bagi tempoh 2014-2015.

Penulis ialah Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia.

Berita Harian X