Selasa, 27 September 2016 | 7:40pm

Pencemar Sungai Semenyih berhadapan tindakan tegas


Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

PUTRAJAYA: Kerajaan akan ambil pendekatan tegas termasuk tindakan mahkamah, terhadap pihak industri yang mengakibatkan pencemaran Sungai Semenyih sehingga Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih terpaksa ditutup.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata kerajaan akan bekerjasama dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk kenal pasti dalang kejadian Khamis lalu itu.

Beliau menjelaskan, kes pencemaran air sungai adalah bawah bidang kuasa kerajaan dan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang bersalah kerana ia membabitkan masalah kesihatan kepada pengguna.

"Kita akan tubuhkan pasukan untuk menyiasat punca pencemaran dan sekiranya disebabkan sisa buangan kilang, maka pengusaha kilang akan dikenakan tindakan," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Teknologi Air Ranhill (Cayman) dengan SIIC Environment Holding Ltd, China, di sini hari ini.

Khamis lalu, LRA Semenyih ditutup akibat Sungai Lalang, salah satu cabang Sungai Semenyih, dicemari sisa pepejal dari beberapa buah kilang yang beroperasi di kawasan Hitech Semenyih, berhampiran dengan kawasan sungai berkenaan sehingga bekalan air ke beberapa kawasan seperti Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling terjejas.

Ini bukan kali pertama sumber air LRA Semenyih tercemar teruk sehingga menyebabkan ia terpaksa ditutup dan bekalan air terputus secara mengejut, malah sudah berlaku enam kali sebelum ini sejak 2006.

Kata Maxmimus, setakat ini kes pencemaran berkenaan masih dalam kawalan dan akan diselesaikan dalam masa terdekat terutama bagi kajian kandungan sampel air yang sedang diuji untuk mengenal pasti bahan cemar selain usaha menyelesaikan masalah pencemaran bau.

"Kita akan terus pantau masalah di LRA Semenyih dengan harapan ia dapat dipulihkan dengan segera dan beroperasi seperti sedia kala mengikut standard piawaian antarabangsa yang ditetapkan.

"Tindakan membatalkan operasi dan lesen terhadap premis perniagaan yang didapati melakukan kesalahan ini adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974," katanya.

Berita Harian X