Selasa, 27 September 2016 | 4:45pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin memakaikan topi keledar kepada murid sempena Program Keselamatan Jalan Raya di TABIKA KEMAS Taman Chepor Raya, Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

MKJR Perak sedia bantu sekolah


PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. - Foto L Manimaran

IPOH: Pengurusan sekolah di Perak boleh mengemukakan cadangan atau permohonan melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri bagi meningkatkan aspek keselamatan lalu lintas di kawasan sekolah masing-masing bagi mengelak kemalangan membabitkan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata ia termasuk permohonan keperluan peralatan meningkatkan keselamatan seperti memasang atau menambah papan tanda amaran di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi MKJR negeri, berkata proses itu akan memudahkan MKJR membuat kajian dan siasatan terhadap permohonan yang dikemukakan.

"Pihak sekolah perlu menulis surat permohonan, memaklumkan cadangan dan keperluan berkaitan peralatan keselamatan yang tidak mencukupi seperti papan tanda amaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan topi keledar kepada murid sempena Program Keselamatan Jalan Raya di TABIKA KEMAS Taman Chepor Raya, di sini hari ini.

Zainol Fadzi turut mencadangkan pihak sekolah melantik mereka yang berpengalaman untuk mengawal dan membantu pelajar melintas jalan di kawasan sekolah.

Berita Harian X