Selasa, 27 September 2016 | 1:31pm

Real fokus temu Dortmund, tak fikir spekulasi - Zidane


ZINEDINE Zidane. - Foto AFP

DORTMUND: Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane menolak spekulasi membabitkan bintangnya, Cristiano Ronaldo selain menafikan skuad kendaliannya berdepan kemerosotan prestasi menjelang pertembungan Liga Juara-Juara di Borussia Dortmund, awal pagi ini.

Zidane menggantikan Ronaldo yang juga pemain Terbaik Dunia tiga kali pada pertembungan La Liga menentang Las Palmas yang berakhir seri 2-2 dengan bintang Portugal itu langsung tidak memandangnya ketika berjalan keluar.

Begitupun, legenda Real itu mengakui tiada apa yang pelik dengan sikap yang ditunjukkan kaptennya itu.

"Bukan Ronaldo saja yang kecewa apabila digantikan," kata Zidane. "Semua orang juga sama. Segala-galanya adalah normal, semuanya baik. Kita perlu hidup dengan berbincang. Saya tidak bodoh, dia juga tidak bodoh.

"Kami berkunjung ke sini dengan satu sasaran dan kami semua berfikir mengenai perlawanan," kata bekas legenda Perancis itu.

Seri dengan Las Palmas mengikuti keputusan sama ketika bertemu Villarreal, sekali gus menamatkan deretan 16 kemenangan berturut-turut Real dalam saingan La Liga.

Namun Zidane berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan.

"Saya tidak bimbang. Kami jelas boleh bermain dengan lebih baik, namun kadang kala perlawanan seperti itu juga baik, keputusan seperti itu kadang kala menyedarkan kamu."

Real memenangi perlawanan pertama Kumpulan F dengan menewaskan Sporting Lisbon 2-1 namun terpaksa bangkit daripada ketinggalan dengan Dortmund membelasah Legia Warsaw 6-0.

Dortmund tidak pernah tewas menentang Real di laman sendiri dengan kelab gergasi Sepanyol itu hanya mencatat empat kemenangan daripada 29 pertemuan menentang kelab-kelab Jerman.

Signal Iduna Park juga sering menghadirkan memori duka buat Real yang tewas ketiga-tiga kunjungan terakhir ke stadium itu.

"Kami tahu di mana kami berdiri. Kami adalah Real Madrid dan kami mahu menang semua perlawanan. Saya tidak berfikir dengan perlawanan terakhir kami di Dortmund. Setiap perlawanan adalah berbeza," kata Zidane. - AFP

Berita Harian X