Selasa, 25 November 2014 | 10:20pm
TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Aizuddin Saad

Pendidikan sebagai wahana kemajuan, perpaduan nasional - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, di samping memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, parti berkenaan perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera.

"Sebagai parti yang memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO perlu memberi perhatian secara lebih serius kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja Bumiputera.

"Data terkini menunjukkan 64.3 peratus tenaga buruh Bumiputera mempunyai sijil SPM dan ke bawah. Hanya 27.8 peratus berpendidikan tinggi.

"Keadaan ini tidak memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, pendidikan turut berperanan sebagai wahana perpaduan dan wahana untuk membina identiti nasional.

"Kerana itu saya sering menegaskan kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan. Jika murid daripada semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, maka saya yakin perpaduan di negara kita akan menjadi lebih kukuh," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak.

"Saya percaya, kita boleh mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem pendidikan kebangsaan yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional.

"Saya fikir, tempoh 57 tahun merdeka sudah cukup untuk kita hapuskan segala rasa prejudis dan syak wasangka antara kaum.

"Tinggal lagi, kita semua, baik parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, gerakan pendidikan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, perlulah ada keikhlasan, ada kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk perpaduan.

"Jangan kita bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama bertindak menebalkan tembok pemisahan kaum," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, kerajaan wajar mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api perbalahan.

"Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan.

"Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

"Begitu juga dengan kedudukan tanah rizab Melayu dan Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut.

"Apa yang penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan keharmonian nasional," katanya.

Berita Harian X