Isnin, 26 September 2016 | 8:41am

Bas ekspres terbabas, 29 penumpang selamat


KEADAAN bas ekspres yang terbabas ke bahu jalan di Kilometer 244 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Rembau, awal pagi tadi.

REMBAU: Seramai 29 penumpang sebuah bas ekspres terselamat apabila kenderaan itu terbabas di bahu jalan di Kilometer 244 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Pegawai Bomba Kanan ll, Dzor Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.05 pagi memaklumkan kejadian.

Katanya, dua jentera termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, dihantar ke lokasi bersama 11 pegawai serta anggota sebelum tiba 20 minit kemudian.

"Sebaik tiba, kami mendapati ada penumpang yang sudah keluar sendiri dan ada yang dibantu oleh anggota bomba untuk keluar dari bas.

"Pegawai perubatan mengesahkan semua penumpang berusia lingkungan 30-an sehingga 50-an tidak mengalami kecederaan," katanya di sini, hari ini.

Dzor berkata, bas ekspres itu dalam perjalanan dari Johor Bahru, Johor ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur sebelum tiba-tiba terbabas ke bahu jalan.

16 dibaca
Berita Harian X