Ahad, 25 September 2016 | 11:37pm

Dua beranak dikebumi dalam satu liang


JENAZAH Izwan Isa dan anaknya, Nur Zulaikha dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi. Mereka terbunuh selepas dirempuh Go-kart yang berlumba hilang kawalan dalam perlumbaan EIMARACE peringkat kebangsaan 2016 di Indera Mahkota tengahari tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Dua beranak yang terkorban ketika menonton perlumbaan Perlumbaan Inovasi Pendidikan Sukan Motor dan Automotif (EIMARace) 2106, di Indera Mahkota, di sini dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, di sini, kira-kira jam 11.10 malam ini.

Terdahulu, solat jenazah untuk Allahyarham Izwan Isa, 38, dan anak perempuannya, Nur Zulaikha, lima tahun, diadakan di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota yang dihadiri lebih 600 orang termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, rakan dan saudara mara mangsa.

Izwan yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Gebeng, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak perempuannya, Nur Zulaikha di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Sementara itu, isterinya, Siti Suhaiza Seman, 38 yang juga guru j-QAF (Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) di Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Mahkota Utama cedera ringan manakala anak lelaki sulung pasangan itu, Muhammad Izz Danial Izwan, tujuh tahun, masih kritikal dan dirawat di HTAA.

Berita Harian X