Ahad, 25 September 2016 | 11:08pm

Saga baharu ditawarkan pada harga kompetitif

SHAH ALAM: Selepas melancarkan dua model terbaharu, masing-masing Perdana dan Persona pada Jun dan bulan lalu, Proton Holdings Bhd bakal memperkenalkan model baharu ketiga untuk 2016, Rabu ini.

Model Saga yang sinonim dengan pengeluar kereta nasional itu apabila muncul model pertama dilancarkan pada 9 Julai 1985, akan menampilkan reka bentuk serba baharu lebih menarik yang dijana enjin 1.3 liter VVT.

Saga baharu berkenaan didatangkan dalam empat varian iaitu 1.3L 5MT Standard; 1.3L CVT Standard; 1.3L CVT Executive dan 1.3L CVT2 Premium.

Ditampilkan sebagai kereta mampu milik, ia dijangka ditawarkan pada harga kompetitif dalam lingkungan RM38,000 hingga RM47,000 seunit, sekali gus menjadikannya sebagai kereta paling mampu dimiliki dan termurah dalam kelasnya.

Wakil media diberi kesempatan untuk memandu uji Saga baharu di Litar Ujian Proton, di sini, Khamis lalu, namun tidak dibenarkan mengambil gambar kereta berkenaan.

Menerusi sesi pandu uji ringkas itu, pemerhatian umumnya mendapati reka bentuk luaran Saga baharu lebih menarik dan mantap serta mengujakan, sekali gus mampu memberi saingan terhadap model sekelas sedia ada di pasaran.

Berbanding model sebelumnya, Saga baharu mempunyai tambahan ukuran panjang keseluruhan 74 milimeter (mm) dari 4,257 mm kepada 4,331 mm; tambahan 9 mm lebar dan 11 mm lebih rendah, dengan jarak roda dikekalkan pada 2,465 mm. Keluasan but juga dipertingkatkan kepada 420L berbanding 413L pada model sebelumnya.

Dijana enjin 1.3 liter VVT yang dipertingkatkan, model baharu ini mampu menghembur 94 kuasa kuda dan 120 Nm kuasa kilas, dengan pecutan 0-100 km dalam masa 12.2 saat bagi varian manual dan 13.1 saat automatik.

Kemasan dalaman dibaluti fabrik berwarna hitam dengan panel pemanduan yang mudah dicapai dan dikendalikan, selain menyediakan ruang kaki serta kepala yang memadai.

Ia juga dilengkapi sistem audio yang boleh memainkan MP3/USB/ Aux dan Bluetooth pada semua varian serta soket USB di belakang sebagai ciri standard.

Dari segi keselamatan, Saga baharu dipasang dengan lima ciri keselamatan pasif iaitu ABS, BA, ESC, TCS dan HHA, sekali gus melayakkannya untuk menerima penarafan 4 Bintang NCAP ASEAN.

Untuk varian Premium, ia menggunakan rim aloi tayar bersaiz 15 dengan kamera mengundur yang ditempatkan pada cermin pandang belakang. Varian Standard menggunakan rim tayar bersaiz 13 manakala varian Executive menggunakan saiz 14.

Semua varian ditawarkan jaminan 3+2 tahun atau 150,000 km, berbanding 3 tahun atau 100,000 km bagi model sebelumnya.

Bersandarkan pelbagai pembaharuan dan harga ditawarkan, PROTON menyasarkan untuk menjual kira-kira 5,000 unit Saga baharu sebulan.

Berita Harian X