Ahad, 25 September 2016 | 6:03pm

Raja Farah belum sedia kongsi wajah anak sulung


RAJA Farah belum bersedia berkongsi gambar anak sulungnya. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon Raja Farah, 28, belum bersedia berkongsi gambar anak sulungnya, Imran Iskandar, walaupun dirinya sudah pun habis berpantang beberapa hari lalu.

Anak lelaki yang dilahirkan pada 10 Ogos lalu itu adalah hasil perkahwinannya bersama Iskandar Ismail, 34. Mereka diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri pada 6 September tahun lalu.

"Jika diikutkan, saya sudah pun habis berpantang dan bolehlah berkongsi gambar anak dalam masa beberapa lagi. Tetapi, tunggulah dulu hingga kami benar-benar bersedia.

"Ketika ini, rasanya Imran pun masih memerlukan rehat secukupnya. Saya sendiri juga baru saja melepas fasa pemulihan dan masih berusaha menstabilkan diri. Namun, saya sedar ada peminat yang teringin untuk menatap wajah anak kami. Jadi, mungkin dalam masa beberapa hari lagi, saya boleh berbuat begitu," katanya kepada BH Online.

Raja Farah yang akan kembali mengacarakan program Assalamualaikum, awal Oktober depan, berkata dirinya ketika ini sangat menebal dengan naluri keibuan.

"Alhamdulillah, saya amat gembira dengan kehadiran anak sulung kami. Ia sebuah kelahiran yang sangat-sangat dinanti.

"Seperti juga wanita lain, saya memang seronok melihat budak kecil. Kini, dengan adanya anak sendiri, ia ada kala terasa seperti bermimpi.

"Kami turut memilih nama yang ringkas untuk si kecil, seperti bapanya juga. Lagipun, ia mudah untuk diingati. Semoga Imran membesar menjadi anak yang baik dan soleh," katanya.


RAJA Farah muat naik foto yang baharu selepas akaunnya digodam.

Sementara itu, seperti dialami beberapa selebriti lain, akaun Instagram pelakon dan pengacara ini juga menjadi mangsa godam pihak tidak bertanggungjawab. Selain dirinya, Datin Seri Umie Aida turut mengalami nasib serupa hingga terpaksa membuka akaun baharu.

"Aktiviti mereka memang licik. Mulanya memang berasa seperti hendak berputus asa apabila mereka menyekat akses saya. Hampir tiga minggu juga saya membuat laporan kepada pihak sokongan Instagram.

"Alhamdulillah, saya mendapat kembali akaun sama di bawah nama @rajafarahaziz. Namun, semua gambar lama dipadamkannya dan saya kena muat naik foto baharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Raja Farah dan suami kini membuka restoran Ayam Baek di sebuah pusat beli-belah terkenal di Shah Alam. Ia beroperasi Setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Berita Harian X