Ahad, 25 September 2016 | 5:50pm

Festival Pengisahan Negara perkukuh maklumat kepada masyarakat


KETUA Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (dua dari kanan) dan Exco Penerangan, Komunikasi dan Koperasi negeri, Datuk Wira Latiff Tamby Chik (tengah) mengibar jalur gemilang pada majlis Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Durian Tunggal. - Foto Khairunisah Lokman

ALOR GAJAH: Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bercadang mengumpulkan semua 13 pemenang Pertandingan Pengisahan Kenegaraan sejak 2003 di bawah satu Festival Pengisahan Negara bagi memperkukuh penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Ketua Pengarah, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, berkata cadangan itu masih di peringkat perbincangan dan bergantung kepada beberapa aspek untuk diteliti termasuk kelulusan dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Ini adalah antara aktiviti yang dicadangkan sebagai mengimbau kembali setiap medium disampaikan pemenang Pertandingan Pengisahan Kenegaraan sepanjang 13 tahun pertandingan ini dimulakan sejak tahun 2003.

"Kita percaya melalui paparan ini, pelbagai maklumat ilmiah, ketokohan khususnya dasar kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan 2016 anjuran JaPen di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, EXCO Penerangan, Komunikasi, dan Koperasi negeri, Datuk Wira Latiff Tamby Chik.

Sebanyak lima kumpulan dari seluruh negara bertentap dalam pertandingan akhir yang bertemakan '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Pasukan Bunga Emas yang mewakili Perlis dinobatkan sebagai juara selepas mengangkat kisah di sebalik Bapa Perpaduan Malaysia, Tun Hussien Onn, sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM6,000; piala pusingan Setia Budi, piala iringan dan sijil.

Berita Harian X