Ahad, 25 September 2016 | 12:03pm

Perarakan Town & Gown meriah


Sebahagian kontinjen yang menyertai Majlis perarakkan Town and Gown UTHM di Bandar Batu Pahat, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad

BATU PAHAT: Kira-kira 5,000 penduduk membanjiri pusat bandar daerah ini malam tadi bagi menyaksikan perarakan unik 'Town and Gown'.

Perarakan kali kelapan itu adalah acara tahunan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi menguar-uarkan majlis Konvokesyen Ke-16 universiti itu pada 8 sehingga 10 Oktober depan.

Sebanyak 27 kontinjen membabitkan 1,500 peserta termasuk mahasiswa, kakitangan UTHM serta kumpulan pancaragam Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) berarak sejauh satu kilometer dari Jalan Rahmat ke Dataran Penggaram, dekat sini, sambil mendapat tepukan dan sorakan orang ramai.

Perarakan bermula jam 8.30 malam itu yang dijadikan produk pelancongan unik dan turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan daerah itu juga bertujuan mengeratkan hubungan antara warga universiti dan masyarakat setempat.

Perarakan konvokesyen bertema 'Communiversity Celebration' itu adalah amalan turun temurun universiti ternama luar negara termasuk di Amerika Syarikat seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti Michigan Ann Arbor serta Universti St Andrews (Scotland) dan UTHM adalah antara universiti pertama negara yang menganjurkannya.

Sambutan turut diteruskan di Dataran Penggaram dengan Konsert khas menampilkan kumpulan terkenal Forteen serta persembahan kebudayaan dan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

Hadir menyaksikan perarakan berkenaan adalah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.

Berita Harian X