Ahad, 25 September 2016 | 8:28am

Rooney tetap kapten United - Mourinho


Jose Mourinho (kiri) dan Wayne Rooney.

MANCHESTER: Wayne Rooney kekal sebagai tonggak utama Manchester United biarpun kapten The Red Devils itu diletakkan di bangku simpanan ketika menewaskan juara bertahan, Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi, kata Jose Mourinho.

Tindakan Mourinho meletakkan Rooney di bangku simpanan dalam aksi di Old Trafford itu jelas membuahkan hasil positif berdasarkan prestasi menakjubkan dipamerkan barisan pemainnya.

Bagaimanapun, pengurus United itu menegaskan Rooney kekal sebagai kapten pasukan dan memilih untuk memberi fokus terhadap prestasi Marcus Rashford dan Jesse Lingard berbanding menggunakan khidmat penyerang senior itu selepas aksi hambar dalam perlawanan sebelum ini.

"Dia tetap kapten saya. Jika dia di atas padang atau dia berada di rumah, dia tetap kapten saya.

"Itu bukan masalah besar kerana kami fikir menentang pasukan seperti Leicester dengan cara mereka bertahan, ia adalah pilihan terbaik untuk kami. Kami menggunakan pemain muda yang pantas dengan Juan Mata di posisi yang mana dia boleh berkomunikasi dengan pemain muda itu.

"Jadi, ia berakhir dengan keputusan yang baik untuk kami. Jika saya tidak menurunkan Rashford, kamu akan tanya saya kenapa. Jika saya tidak menurunkan Lingard, kamu akan tanya kenapa, kamu lebih suka bertanya mengapa seseorang pemain itu tidak bermain.

"Ada masanya apabila saya membaca laporan seperti itu, saya merasakan saya langsung tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak tetapi satu yang saya tahu: peraturan permainan," kata Mourinho.

Kemenangan itu jelas melegakan United selepas merekodkan tiga kekalahan berturut-turut sebelum menewaskan kelab Divisyen 3, Northampton dalam aksi Piala Liga pada pertengahan minggu.

Namun, Mourinho berkata skuad bimbingannya masih lagi dalam proses pembentukan selepas bergelut dengan aksi tidak menentu musim lalu di bawah kendalian Louis van Gaal biarpun dia menegaskan tidak menyesal meletakkan sasaran tinggi musim ini. - AFP

52 dibaca
Berita Harian X