Sabtu, 24 September 2016 | 4:05pm

Prof Madya Abdullah Kassim meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Prof Madya Abdullah Kassim meninggal dunia akibat kanser paru-paru di rumahnya di Shah Alam, awal pagi tadi.

Isterinya, Zaimah Mokhtar, 63, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 2 pagi pada usia 70 tahun dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, kira-kira 9 pagi tadi.

"Mula-mula Allahyarham menghidap penyakit tiroid dan tiba-tiba ia mula membengkak sehinggalah menjangkiti paru-paru hingga menyebabkan kanser.

"Kami mendapat tahu penyakit kanser ini dua bulan lalu. Sejak beberapa minggu lepas arwah menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan Khamis lepas arwah dibenar pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat anak perempuan serta sembilan cucu.

Sementara itu, Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Dr Azizul Halim Yahya, berkata beliau tidak sempat melawat Allahyarham di hospital, tetapi dapat berkunjung ke rumahnya sebelum Aidiladha.

Azizul yang juga bekas pelajar Allahyarham menyifatkannya sebagai contoh yang baik dalam bidang pendidikan, seorang yang sangat dihormati dan sering memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada rakan dan pelajar.

Katanya antara bekas pelajar Allahyarham Abdullah adalah Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab berkata Allahyarham adalah bekas pensyarahnya yang pernah mengajar Kesusasteraan Melayu dari tahun 1977 hingga 1980.

"Beliau yang menemuduga saya di Kolej Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan untuk pemilihan memasuki Fakulti Komunikasi Massa, UiTM Shah Alam pada 1977.

"Moga diampuni segala dosanya oleh Allah SWT dan dimasukkan ke syurga dan ditempatkan bersama para solihin," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X