Sabtu, 24 September 2016 | 11:28am
PDRM logo

487 ditahan dalam Ops Samseng Jalanan

ANTARA remaja yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Taman Jubli Emas malam tadi. - Foto Noorazura Abdul Rahman

ALOR SETAR: Seramai 487 penunggang dan pembonceng motosikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Suka Menanti berhampiran Taman Jubli Emas, di sini, malam tadi.

Operasi bermula jam 4 petang hingga 12 malam itu membabitkan 17 anggota serta seorang pegawai, dengan 184 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata dalam operasi itu sebanyak 450 motosikal diperiksa dengan 38 daripadanya disita berikutan kesalahan tiada lesen memandu, perlindungan insurans dan cukai jalan.

"Operasi bertujuan mengesan mereka yang menunggang secara berbahaya dan berkumpulan di kawasan terbabit selain melakukan aksi berbahaya.

"Keadaan itu menyebabkan pengunjung di Taman Jubli Emas tidak selesa, selain membahayakan pengunjung dan pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain itu Rozi berkata , seramai tiga remaja berusia antara 20 hingga 21 tahun yang ditahan dalam operasi sama Januari lalu, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 kerana merempit mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Saya ingin menekankan bahawa polis sangat komited melaksanakan operasi membanteras samseng jalanan, namun dalam masa yang sama memerlukan kerjasama ibu bapa bagi mengawasi anak-anak masing-masing supaya tidak terjebak gejala rempit dan samseng jalanan ini," katanya.

Berita Harian X