Sabtu, 24 September 2016 | 10:19am

400 sertai kayuhan patriotik di Langkawi


KETUA Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli (empat dari kiri) melepaskan 400 peserta yang menyertai Kayuhan Patriotik 'Merdeka Fun Ride 2016' sejauh 20 kilometer yang bermula di pekarangan Pejabat Daerah Langkawi, sebentar tadi. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Seramai 400 peserta mewakili pelbagai kaum dan peringkat umur menyertai Kayuhan Patriotik 'Merdeka Fun Ride 2016' di pekarangan Pejabat Daerah Langkawi (PDL) di sini, hari ini.

Langkawi menjadi lokasi terakhir program berkenaan yang berlangsung di seluruh negara.

Acara dibahagikan kepada dua kategori iaitu VIP dan awam anjuran Biro Tatanegara (BTN) itu turut mendapat kerjasama Kelab Gerek Taman Wawasan Indah (TWI), PDL dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Selain kayuhan patriotik membabitkan jarak 20 kilometer yang disempurnakan pelepasan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli, pelbagai acara sampingan lain turut disediakan termasuk senamrobik, program menderma darah serta cabutan bertuah.

Pengerusi Kelab Gerek TWI, Jeffery Ramli, berkata acara kayuhan sejauh 20 kilometer itu bermula dari pekarangan PDL melalui Jalan Kampung Belanga Pechah, sebelum peserta berpatah balik ke lokasi permulaan.

"Program di Langkawi ini adalah lokasi terakhir daripada 14 lokasi di seluruh negara sebagai tuan rumah bermula di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor 18 Ogos lalu.

"Acara ini diyakini dapat mewujudkan gelombang semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada pemimpin dan masyarakat tempatan," katanya.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan, Ketua Pengarah BTN, Datuk Ibrahim Saad dan Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat.

Berita Harian X