Jumaat, 23 September 2016 | 11:41pm

Shiha bergaya seksi dalam video muzik baharu?

KUALA LUMPUR: Belum pun video muzik single terbaharu Shiha Zikir berjudul Seperti Novel Cinta menemui peminat, ia sudah mula dikatakan apabila satu daripada pakaian digayakan penyanyi itu dikatakatan agak seksi.


BUSANA rekaan Jimmy Couture yang dikenakan Shiha untuk video muzik berjudul Seperti Novel Cinta dikatakan begitu daring dan seksi pernah digayakan penyanyi itu.

Penyanyi yang semakin dikenali selepas menyertai program realiti D'Academy Asia tahun lalu itu didakwa tidak peka dengan sensitiviti apabila menggayakan gaun rekaan terbabit dalam video terkininya.

Sebahagian peminat mempersoalkan tindakan Shiha yang mengenakan busana menyerlahkan bahagian kulit badannya ketika penggambaran video muzik lagu ciptaan sepenuhnya Ajai itu.

Penggambaran video muzik itu diadakan Khamis lalu di Dewan Mercu Mustapha Kamal, di sini.

Bertemunya petang tadi, Shiha bagaimanapun tidak melatah kerana tahu dia tidak terdesak untuk mencipta kontroversi apabila dikatakan sanggup berpakaian seksi seumpama itu.

"Saya tahu sedari awal mungkin jika ada yang pandang sekali lalu, saya seolah-olah mengenakan gaun seksi yang menampakkan beberapa bahagian kulit badan. Hakikatnya saya sudah menyarung baju dalam berwarna seakan tona kulit.

"Jadi tak timbul saya 'daring' atau sengaja mengundang kontroversi dengan menyerlahkan kulit badan. Kalau perhatikan gaun itu betul-betul memang saya ada mengenakan baju dalam warna coklat.

"Jadi peminat mungkin boleh periksa semula akaun Instagram saya dan perhatikan saya memang tidak seperti yang dikatakan.

"Bahkan, saya sangat puas hati dengan rekaan perekanya, Jimmy Couture. Ia sangat cantik. Untuk video muzik itu sahaja saya mengenakan tiga busana rekaannya," tegas Shiha yang pada masa sama tidak sabar menanti hasil video muzik arahan Radzi Rajudin dan Idhammadin itu disiapkan.

Bercerita lanjut mengenai video muzik single terbaharunya itu, kata Shiha, penggambarannya mengambil masa hampir sehari.

Lagu berkenaan diterbitkan di bawah label Wake The Baby dan diedarkan menerusi kerjasama dengan Warner Music Malaysia.

"Saya mula disolek Fendi Sani sejak jam 7 pagi lagi. Penggambaran pula bermula sekitar jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

"Biarpun hanya menggunakan satu lokasi, saya puji kreativiti pengarahnya kerana berjaya meneroka banyak sudut yang tampak berbeza ketika dilihat di monitor. Sememangnya saya sendiri amat teruja menantikan hasilnya.

"Tambahan pula selepas sekian lama, single baharu ini mula mendapat perhatian stesen radio utama negara kita. Malah ia turut memanjat carta Muzik Muzik.

"Selama ini, saya berdepan kesulitan apabila album mini dan single terdahulu tidak kerap dimainkan di corong radio. Lalu apa yang saya raih kini menerusi single Seperti Novel Cinta seakan-akan memberi nafas baharu untuk saya terus berjuang di arena seni," katanya yang akan memasarkan kanta lekap sendiri di bawah jenama Shiha Lens tidak lama lagi.

84 dibaca
Berita Harian X