Jumaat, 23 September 2016 | 3:56pm

Lelaki hina kerabat Johor direman


PENGANGGUR (kiri) diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman atas tuduhan menghina Institusi Kesultanan Johor menerusi Facebook di Mahkamah Majistret Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Mahkamah mengeluarkan perintah reman ke atas seorang lelaki berusia 32 tahun yang didakwa menghina Institusi Kesultanan Johor menerusi laman sosial Facebook (FB).

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majisret, Azean Sohaini, membenarkan dia direman tiga hari sehingga Ahad ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

Terdahulu, penganggur berpakaian lokap berwarna ungu itu tiba di mahkamah pada jam 9.50 pagi dengan diiringi polis.

Semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor menerima laporan penghinaan ke atas Institusi Kesultanan Johor yang dibuat menerusi FB didaftarkan atas nama `Zuwairi Md Yusof'.

Susulan maklumat yang disalurkan kepada JSJK Pulau Pinang, seorang lelaki dipercayai bertanggungjawab atas kenyataan menghina berkenaan ditahan.

Di mahkamah sama, polis turut mendapat perintah menahan reman tiga hari pemilik akaun FB `Wan Ayuni' yang dipercayai menyebarkan berita palsu kononnya mayat dua kanak-kanak mangsa culik ditemui di tepi sungai di negeri ini dengan keadaan organ dalaman dikeluarkan.

Wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pegawai Teknologi Maklumat itu ditahan polis di Sungai Buloh, Selangor, petang semalam.

Berita Harian X