Jumaat, 23 September 2016 | 3:32pm
KWSP mencatatkan peningkatan penggunaan e-Pengeluaran setelah kemudahan itu diperluaskan. - Foto

Penggunaan e-Pengeluaran KWSP meningkat

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan penggunaan e-Pengeluaran setelah kemudahan itu diperluaskan untuk membolehkan penyerahan permohonan Pengeluaran Pendidikan dan Pengeluaran Kesihatan secara dalam talian bermula April.

Di samping menghantar permohonan Pengeluaran Perumahan, peluasan ini menjadikan e-Pengeluaran sebagai alternatif kepada ahli untuk menyerahkan permohonan pengeluaran dengan lebih cekap.

Laporan suku tahun kedua Operasi menyaksikan perkhidmatan elektronik KWSP yang merangkumi i-Akaun, Kios KWSP dan laman web myEPF terus menjadi pilihan transaksi.

Penggunaan i-Akaun meningkat 44.26 peratus daripada 3.33 juta dalam suku kedua 2015 kepada 4.81 juta sehingga akhir Jun lalu.

Jumlah penggunaan Kios KWSP dalam suku tahun yang dikaji meningkat 25.87 peratus kepada 3.47 juta berbanding 2.75 juta dalam suku kedua 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata perkhidmatan KWSP melalui penambahbaikan pesat untuk disesuaikan dengan peredaran masa dan kehendak ahli.

Katanya, kemudahan e-Pengeluaran adalah antara operasi KWSP yang sedang giat membangun kerana memudahkan ahli untuk membuat permohonan pengeluaran.

"Bank yang menyertai e-Pengeluaran juga melaporkan pengurangan tempoh untuk proses permohonan serta peningkatan produktiviti harian mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa ini, bank yang menyertai e-Pengeluaran adalah Maybank, RHB Bank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, OCBC Bank, Ambank, UOB Bank dan CIMB Bank.

Shahril Ridza berkata, KWSP juga sedang mengusahakan penambahan jumlah institusi kewangan untuk menyertai e-Pengeluaran supaya lebih ramai ahli boleh memanfaatkan kemudahan ini.

Hingga akhir Jun 2016, e-Pengeluaran merekodkan jumlah permohonan yang diluluskan sebanyak 18,707 untuk Pengeluaran Pendidikan sejak kemudahan dalam talian untuk pengeluaran ditawarkan pada April tahun ini.

Peningkatan yang mendadak sebanyak 12,422 dicatatkan pada bulan Jun membabitkan Pengeluaran Pendidikan, yang mana majoriti permohonan adalah untuk melunaskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Berita Harian X