Khamis, 22 September 2016 | 12:45pm

Murid SK Kedai Buloh 1 terima bantuan KWAPM


TIMBALAN Ketua UMNO Pengkalan Chepa, Ismail Omar, (tujuh dari kiri) bersama sebahagian ibu bapa kepada pelajar yang terima KWAMP- Foto Betty Subaryati

KOTA BHARU: Seramai 227 daripada 753 murid Tahun Dua hingga Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Buloh 1 di sini menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) bernilai RM200 hingga RM700.

Bantuan disalurkan kepada keluarga berpendapatan rendah mengikut tiga kategori bagi membantu murid dari keluarga kurang berkemampuan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Ismail Omar, berkata tiga kategori itu berdasarkan kelayakan iaitu RM200 bagi keluarga sederhana, keluarga miskin (RM450) dan keluarga miskin tegar menerima RM700.

"Penyampaian KWAPM bergantung kepada pendapatan ibu bapa dan penambahan bantuan juga menunjukkan Kerajaan Pusat sentiasa prihatin dalam membantu aspek pendidikan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian KWAPM Bagi Tahun Dua hingga Tahun Enam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Kedai Buloh (1), Khairul Azam Che Seman.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, pihaknya bersyukur apabila Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah kini mula dilaksanakan dua kali sehari bergantung kepada sesi persekolahan.

"Sesi RMT dua kali sehari ini bermula pada 19 September lalu dengan menaikkan kadar harga dari RM2.50 kepada RM4.50 untuk setiap murid.

"Selaku ibu bapa dan pemimpin masyarakat, kami mengharapkan pihak yang menyediakan makanan RMT supaya prihatin terhadap penyediaan sajian mengikut menu ditetapkan Kementerian Pendidikan dan sekolah," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X