Khamis, 22 September 2016 | 12:31pm

Polis nafi ada kes culik kanak-kanak untuk ambil organ


KETUA Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Polis menafikan wujud kes penculikan membabitkan dua kanak-kanak yang ditemui di tepi sungai dengan keadaan organ dalamannya sudah dikeluarkan seperti viral menerusi Facebook (FB).

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata penafian itu berikutan terdapat penyebaran maklumat berkaitan isu berkenaan oleh pemilik akaun FB bernama Wan Ayuni mengenai penculikan kanak-kanak di negeri ini.

"Polis Johor menafikan terdapat dua kes yang mana dua kanak-kanak diculik dan mayatnya ditemui di tepi sungai dalam organ dalaman sudah diambil.

"Tiada kejadian seperti disebarkan, dilaporkan berlaku di Johor," katanya dalam kenyataan di sini.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan berita palsu dan tidak benar.

"Penyebaran maklumat palsu boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan orang ramai dan perbuatan ini adalah satu kesalahan yang boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Berita Harian X