Khamis, 22 September 2016 | 9:31am
CLIO GT Line yang sesuai dengan gaya hidup moden dan untuk golongan muda masa kini. - Foto Yazit Razali
PANEL lampu Renault Clio GT Line. - Foto Yazit Razali

Kuasa menjangkaui batasan

CLIO GT Line miliki kuasa yang cukup mengagumkan. - Foto Yazit Razali

MITOS bahawa harga model kereta penumpang Renault lebih mahal berbanding jenama lain perlu seharusnya tidak lagi menjadi 'duri dalam daging' kepada bakal pemilik kenderaan memiliki jentera dari Perancis.

Namun, jika diamati dengan fungsi dan spesifikasi yang ditawarkan jentera Renault, ia tidaklah mahal malah cukup bertepatan dengan gaya hidup moden dan sesuai untuk orang muda masa kini.

Kali pertama diberi peluang memandu uji Renault Clio GT Line, ia cukup mengujakan apabila menatap reka bentuk yang sporty sekali gus mampu membuatkan hati tertarik.

Dari pandangan bahagian hadapan Clio GT Line, dengan tanda jenama Renault di atas latar warna hitam berkilat memberikan imej sporty dan moden.

Dari pandangan belakangnya pula, tampak agak montok namun ia cukup sesuai dengan kereta ini secara keseluruhan.

DARI pandangan belakangnya tampak agak montok. - Foto Yazit Razali

Dari segi dalaman, ia diberikan sentuhan ringkas tetapi menarik dengan skrin sentuh bersaiz 7-inci dengan sistem MediaNav dan sambungan USB, Bluetooth dan AUX.

Buat mereka yang gemar mendengar muzik, Renault Bass Reflex yang menawarkan frekuensi bass serta pembesar suara yang lebih berkuasa.

Dilengkapi dengan sistem kemasukan tanpa kunci dan peranti kemasukan berbentuk kad yang mudah diselitkan dalam poket baju, jelas memberi kelainan kepada model itu dari sudut pandang pertama penulis.

Ruang kabin juga amat selesa untuk membawa keluarga kecil dan penulis boleh katakan ia cukup memuaskan.

Seterusnya, penulis mencuba pengendalian Clio GT line yang menggunakan enjin 1.2 liter Turbo Control Efficiency atau TCe.

Ia ternyata berbeza kerana walaupun enjinnya berkapasiti kecil, kuasanya dan tujahannya cukup mengagumkan dan sangat responsif di mana ia tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan kelajuan yang diingini.

PANEL meter Renault Clio GT Line. - Foto Yazit Razali

SKRIN sentuh bersaiz 7-inci dengan sistem MediaNav dan sambungan USB, Bluetooth dan AUX. - Foto Yazit Razali

BUT Renault Clio GT Line. - Foto Yazit Razali

Walaupun pada kelajuan lebih 140 kilometer sejam (km/j), tiada getaran atau deruman enjin kedengaran dan ia sungguh lancar walaupun saiz badannya kompak.

Dari aspek penggunaan minyak, penulis boleh katakan ia menjimatkan apabila menggunakan mod Eco. Apa yang boleh dikatakan butang Eco benar-benar berfungsi dengan sangat baik.

Bagi enjin 'kecil' itu, ia sebenarnya mampu dipandu sehingga 199 km/j yang turut digabungkan transmisi Klac Berkembar Efisien (EDC) dengan enam kelajuan automatik.

Penggunaan bahan apinya pula hanya 5.2L/100km dan emisi karbon dioksida 120g/km. Dengan mod Eco, penjimatan bahan api sehingga 10 peratus boleh dicapai.

Ia juga hadir dengan inovasi untuk memberi pemanduan lebih menyeronokkan selepas digabungkan suspensi hadapan MacPherson yang turut disambung 'wishbone' tiga segi pada sudut tepat bersama sesendal berkembar.

Secara keseluruhannya, pada pandangan peribadi penulis, Renault Clio GT Line sangat menarik dan sangat sesuai untuk pemandu muda.

Ia memberikan aspek kendalian yang bagus, keselesaan yang sempurna dan reka bentuk yang menarik.

CLIO GT line yang menggunakan enjin 1.2 liter Turbo Control Efficiency atau TCe. - Foto Yazit Razali

INFO: Spesifikasi

  • Renault Clio GT Line
  • Harga: RM118,000 (harga atas jalan termasuk GST tanpa insurans)
  • Enjin: 1,197cc liter Turbo Control Efficiency 4-silinder
  • Kuasa maksimum: 118hp@ 4,900rpm
  • Tork maksimum: 190Nm @ 2,000rpm
  • Transmisi: Efficient Dual Clutch (EDC) 6-kelajuan
  • Tangki petrol: 45 liter
  • Ciri-ciri keselamatan: Empat beg udara, ISOFIX, Electronic Stability Control, Roll Movement Intervention, ABS, Emergency Brake Assist , Hill Start Assist dan lain-lain.
  • Warna: Malta Blue, Diamond Black, Glacier White dan tambahan RM5,000 untuk warna Flame Red
Berita Harian X