Rabu, 21 September 2016 | 7:48pm

Isu persempadanan semula: UMNO bidas Kerajaan PP


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman. - Foto BERNAMA

BUTTERWORTH: UMNO negeri membidas dakwaan Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung isu persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa memberi kelebihan kepada parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata hakikatnya pihaknya kecewa kerana tiada persempadanan semula membabitkan 13 kawasan Parlimen dan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan suruhanjaya itu di negeri ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku hanyalah proses belah bahagi membabitkan kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang disifatkan lebih kepada prosedur pentadbiran SPR.

"Daripada kajian UMNO tiada persempadanan semula dibuat membabitkan kawasan DUN dan Parlimen di Pulau Pinang dan kemungkinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak faham bahawa sebenarnya tidak ada pindaan dibuat di negeri ini.

"Hakikatnya kita turut kecewa dan berpendapat kawasan pilihan raya di negeri ini perlu dirombak sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk dan pengundi terutama di kawasan luar bandar di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi BH di sini, sebentar tadi.

Semalam, Kerajaan DAP Pulau Pinang mendakwa akan membuat bantahan terhadap usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dikemukakan SPR kerana merasakan berlaku keadaan tidak adil dalam proses itu.

Guan Eng dipetik berkata, kerajaan negeri akan memfailkan bantahan itu sebelum 14 Oktober ini, selain menyifatkan persempadanan itu sebagai percubaan untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi semula Pulau Pinang.

Zainal Abidin berkata, pihaknya amat berharap SPR dapat membuat lencongan sempadan untuk menggambarkan kepadatan penduduk selaras dengan keadaan logistik tempatan.

"UMNO menyedari bahawa untuk menambah kerusi DUN dan Parlimen memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen, namun dalam keadaan parti politik hari ini ia mungkin sukar untuk dilaksanakan.

"Justeru, kita kecewa kerana tidak ada pindaan sempadan berlaku di negeri ini sedangkan Pulau Pinang turut mencatatkan peningkatan populasi penduduk sama seperti Selangor," katanya.

26 dibaca
Berita Harian X