Rabu, 21 September 2016 | 5:46pm

3 pusat pemindahan banjir di Selangor ditutup


PENOLONG Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Tiga pusat pemindahan banjir di tiga daerah di negeri ini yang dibuka pada hari Ahad dan Isnin lalu ditutup sepenuhnya pada jam 3 petang ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan diadakan bersama agensi yang terbabit.

"Tiga pusat pemindahan di Dewan Kampung Tok Muda, Kapar; Balairaya Kampung Tok Adam di Tanjung Karang, Kuala Selangor dan Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar, Sabak Bernam sudah ditutup sepenuhnya.

"Kerja-kerja pembersihan akan dijalankan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah-daerah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Ketua Kampung Tok Muda Kapar, Hailani Surit, ketika dihubungi, berkata penduduk kampung mula kembali ke rumah masing-masing sekitar jam 12 tengah hari tadi.

"Alhamdulillah, segala proses dipermudahkan dan semua penduduk sudah selamat kembali ke rumah masing-masing selepas makan tengah hari tadi," katanya.

Tiga daerah di negeri ini dilanda banjir kilat susulan fenomena air laut pasang besar yang bermula Ahad lalu. Seramai 221 mangsa membabitkan 52 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah terbabit banjir.

Berita Harian X