Rabu, 21 September 2016 | 2:16pm
MEMAKAI tudung antara keputusan terbesar yang pernah Fathia lakukan dalam hidup. - Sumber Instagram

Koleksi tudung jenama sendiri simbolik istiqomah - Fathia


PELAKON, Fathia Latiff (tengah). - Sumber Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fathia Latiff menganggap penghasilan tudung di bawah jenamanya sendiri, DarabyFathiaLatiff sebagai simbolik keteguhan niat memenuhi tuntutan sebagai muslimah.

Pemilik nama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff, 29, berkata perkongsian dengan peminat menerusi pengedaran koleksi berkenaan disifatkan sebagai hadiah buat mereka yang sentiasa mendoakannya supaya terus istiqomah atau tetap pendirian.

"Memakai tudung antara keputusan terbesar yang pernah saya lakukan dalam hidup namun berkat doa ramai, saya dapat laksanakan tuntutan itu secara perlahan-lahan. Ini semua kerana-Nya.

"Pernah saya berasa lemah suatu ketika dan selepas menyedari ramai lagi wanita yang berdepan senario sama ketika mahu bertudung, terbit ilham untuk mendedikasikan koleksi ini.

"Ia juga bukan hanya untuk adik dan kakak saya yang bergelut mahu menjadi insan lebih baik daripada sebelumnya malah buat semua peminat yang saya anggap seperti adik beradik sendiri," katanya yang mula bertudung sejak akhir Mac lalu.


KOLEKSI tudung di bawah jenama, DarabyFathiaLatiff. - Sumber Instagram

Menerusi laman Instagram, bintang Ariana Rose itu turut memberikan kata-kata semangat kepada semua wanita supaya terus bangkit selain jangan mudah berputus asa.

"Kepada mereka yang belum, dalam dilema, sudah memakai dan masih terus istiqamah dengan bertudung tidak kira memakainya dengan gaya 'senget benget', sedang belajar melilit atau mencuba memakainya secara kekal, ...mari terus berdoa.

"Semoga saya, kamu dan semua menjadi yang lebih baik. Pastinya kita akan terjatuh tetapi lekas bangun untuk meneruskan apa yang sudah dimulakan," kongsi Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 29 itu.

Koleksi yang diilhamkan sebelum dirinya berhijab lagi itu dijual secara dalam talian di laman maya kira-kira dua bulan selepas itu.

Berita Harian X