Rabu, 21 September 2016 | 1:28pm

3 pusat pemindahan banjir masih beroperasi di Selangor

SHAH ALAM: Tiga pusat pemindahan banjir yang dibuka berikutan banjir kilat berpunca daripada air laut pasang besar, masih beroperasi hari ini dengan jumlah mangsa keseluruhan 221 orang membabitkan 52 keluarga.

Sehingga jam 9 pagi ini, pusat pemindahan yang membabitkan tiga daerah iaitu Dewan Kampung Tok Muda, Kapar; Balairaya Kampung Tok Adam di Tanjung Karang, Kuala Selangor dan Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar, Sabak Bernam belum ditutup berikutan fenomena air laut pasang besar masih berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata Kampung Tok Muda mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 152 mangsa membabitkan 34 keluarga.

"Banjir kilat di daerah Sabak Bernam pula menyebabkan 15 keluarga dengan 54 mangsa terjejas dan dipindahkan sementara di Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar.

"Di Tanjung Karang, jumlah mangsa masih kekal seramai 15 orang dari tiga keluarga," katanya dalam kenyataan pagi ini.

Balairaya Kampung Tok Adam di Tanjung Karang, Kuala Selangor adalah pusat pemindahan pertama yang dibuka Ahad lalu sebelum dua lagi pusat pemindahan di Kampung Tok Muda, Kapar dan Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, dibuka pada Isnin.


SEBAHAGIAN daripada 152 orang mangsa banjir akibat fenomena air pasang besar ditempatkan di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Dewan Kampung Tok Muda, Kapar, hari ini. - Foto Faiz Anuar

Berita Harian X