Rabu, 21 September 2016 | 11:37am

Siri Honda 500 serba baharu lebih mengancam


CB500F

PENGENALAN siri motosikal berkuasa besar, Honda 500 oleh Boon Siew Honda sememangnya amat dinantikan peminat jentera dari Jepun itu.

Ditawarkan dengan tiga varian dengan ciri serba baharu iaitu CBR500R, CB500F dan CB500X, sudah pasti 2016 adalah tahun penting kepada Boon Siew Honda dan pengguna tanah air.

Dijana dengan enjin berkapasiti 471cc DOHC dengan sistem penyejuk cecair dwi selari, ia menawarkan pengalaman terbaik kepada setiap penunggang.

Gerek dan lejang model baharu ini direka pada saiz 67mm x 66.8mm dipertingkatkan lagi bagi menyalurkan kuasa yang luar biasa iaitu 37KW pada 8,500 rpm dan tork maksimum mencapai 44Nm pada 7000 rpm.

Kapasiti tangki petrol juga dipertingkatkan untuk CBR500R dan CB500R dari 15.7 liter kepada 16.7 liter dan 17.5 liter untuk CB500X.

Model serba baharu, siri Honda 500 dilengkapi dengan penggunaan LED pada kedua-dua lampu hadapan dan lampu belakang termasuk bentuk baru yang lebih bergaya.

Ciri keselamatan bagi model ini juga di naik taraf dengan dilengkapi sistem kunci "wave key".

Pada pandangan asas, siri model Honda 500 terbaru kelihatan lebih agresif berbanding dengan model sebelum ini.


CB500X

Selain itu, ia dilengkapi ciri baru termasuk penyerap hentakan depan boleh laras dan brek hadapan boleh laras dengan lima titik penyelarasan.

Peredam ekzos baharu direka dengan bentuk sporty untuk model CBR500R dan CB500F.

Siri Honda 500 ini adalah contoh kepada produk Honda yang direka dengan inovasi yang menawarkan prestasi yang kukuh dan ketahanan yang boleh dipercayai.

Jentera 'mid range' ini dilengkapi khas dengan ciri unik pada harga yang berpatutan.

Kini, pengguna mempunyai pilihan untuk memilih di antara keseronokan memecut dan juga keupayaan untuk kegunaan harian bagi siri Honda 500.

Dengan model Supersport, Naked Style and Adventure tersedia untuk pasaran dengan nilai yang sangat berbaloi.

Ia ditawarkan dengan pilihan warna iaitu CBR500R - Merah, Hitam dan Trico; CB500F - Putih; dan CB500X - Merah, Hitam dan Putih.

Model ini dilengkapi dengan jaminan kilang untuk dua tahun atau 20,000 kilometer jarak perjalanan.


CBR500R

INFO: Siri Honda 500

  • CBR500R - harga di bilik pameran termasuk GST RM31,681.28
  • CB500F - harga di bilik pameran termasuk GST RM31,363.28
  • CB500X / CB500XA - harga di bilik pameran termasuk GST RM31,893.28 / RM35,391.28 (ABS)
  • Enjin : 471cc Liquid-Cooled Parallel-Twin / 471cc Penyejukan Cecair, Dwi Selari
  • Gerek & Lejang : 67.0mm x 66.8mm
  • Nisbah Mampatan : 10.7:1
  • Kuasa Kuda Maksimum : 37kW @ 8,500 rpm
  • Tork Maksimun : 44 Nm @ 7,000 rpm
  • Jenis Klac : Multi Plat Basah
  • Transmisi : 6 Kelajuan
Berita Harian X