Rabu, 21 September 2016 | 11:07am

Konsert Kembara Gamelan di Seremban pada 23-24 September


KOMPLEKS Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan

SEREMBAN: Konsert Kembara Gamelan yang akan berlangsung di Auditorium D'Sury, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan di sini mulai Jumaat ini akan menampilkan kelainan dan keunikan, kata Pengarah JKKN negeri Mohd Radzi Omar.

Beliau berkata, ini kerana persembahan pada konsert kali ini akan menggabungkan 60 pemuzik dan tari daripada Kumpulan Gamelan Impiana Akustika, Kumpulan Gamelan Kampung Pachitan serta pemuzik dan artis tari JKKN Negeri Sembilan.

Katanya, konsert yang berlangsung dua hari itu akan membuat persembahan berdurasi satu jam 30 minit dan terbahagi kepada beberapa segmen antaranya segmen warisan, penjelajahan harmoni, pelapis tiada batasan, gerak halus serta semasa.

"Artis yang akan membuat persembahan ialah Farhan AF4 yang mana beliau akan menyampaikan dua buah lagu iaitu Timang Burung dan Asam Di Darat Ikan Di Laut. Kehebatan vocal Farhan tidak dapat dinafikan kerana beliau seorang yang serba boleh. Persembahannya pasti tidak mengecewakan peminat muzik gamelan," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Katanya, konsert anjuran JKKN dan diselaraskan oleh JKKN Negeri Sembilan ini bertujuan untuk menggalakkan penggiat seni tempatan inovasi produk seni persembahan tradisional gamelan untuk dikomersialkan dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat berkaitan persembahan berkualiti dan bertaraf tinggi yang telah menjalani proses inovasi.

Selain itu, katanya konsert ini juga adalah untuk menaik taraf seni pementasan tradisional yang mampu diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Mereka yang ingin menyaksikan konsert ini dikenakan bayaran RM5 bagi kanak-kanak dan pelajar manakala RM10 bagi dewasa.

Di samping itu, JKKN Negeri Sembilan juga ada menyediakan tiket korporat bernilai RM30 khusus kepada badan korporat yang ingin menyaksikan konsert ini.

Sebarang pertanyaan dan pembelian tiket boleh menghubungi Urus Setia Konsert Kembara Gamelan melalui pembelian terus atau tempahan telefon iaitu 06-7676793 / 06-7636308 atau hubungi terus Farah Damayanty Ahmad di talian 012-9245979. - BERNAMA

Berita Harian X