Rabu, 21 September 2016 | 9:59am

Mangsa banjir air pasang besar di Kuala Muda meningkat

SUNGAI PETANI: Jumlah mangsa banjir dipindahkan susulan fenomena air pasang besar di daerah Kuala Muda terus meningkat dengan satu lagi pusat pemindahan baharu dibuka.

Berdasarkan rekod Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Muda, sehingga jam 8 pagi ini, 226 keluarga membabitkan 934 mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan yang dibuka.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Daerah Kuala Muda, Azhar Ahmad, berkata jumlah itu meningkat berbanding 769 mangsa daripada 195 keluarga yang direkod berada di lima pusat pemindahan sehingga lewat petang semalam.

"Petang semalam, satu pusat pemindahan baharu iaitu di Pusat Komuniti Kospen Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai dibuka menempatkan 165 mangsa banjir dari Kampung Sungai Pial," katanya.

Lima pusat pemindahan lain ialah di rumah Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Sungai Meriam yang menempatkan 292 mangsa; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala di Kota Kuala Muda (267 mangsa); Dewan Kampung Paya, Kota Kuala Muda (94 mangsa); surau Kampung Sungai Yu (74 mangsa) dan Dewan Telok Emboi, 72 mangsa.

Berita Harian X