Rabu, 21 September 2016 | 9:25am

Klopp terdesak tebus kecewa musim lalu


PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

LONDON: Jurgen Klopp terdesak menjadikan Liverpool tampil lebih baik dalam Piala Liga musim ini selepas kekecewaan tewas menerusi penentuan penalti kepada Manchester City pada final di Wembley, musim lalu.

Ragnar Klavan meletakkan mereka di depan pada separuh pertama menentang Derby sebelum Philippe Coutinho dan Divock Origi menjaringkan gol selepas rehat untuk memastikan kemenangan bergaya 3-0 skuad itu.

Ia sekali gus mengekalkan rentak kemenangan Liverpool selepas menewaskan Chelsea dan juara bertahan, Leicester dalam dua perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Satu-satunya kekecewaan buat skuad Klopp pada awal musim ini ialah ketika tewas mengejut di tangan pendatang baharu liga, Burnley.

Klopp berkata: "Ini adalah kejohanan penting, bukan untuk saya, tetapi untuk kita semua, jadi mari kita semua meneruskannya.

"Anda perlu tampil dengan 100 peratus profesional dan benar-benar serius. Kami berhak untuk menang, walaupun ia bukan persembahan yang sempurna."

Bos County, Nigel Pearson pula menjelaskan: "Kami tewas kepada pasukan yang sangat baik dan jurang antara kedua-duanya pada masa ini sangat jauh bagi kami."

Klopp membuat tujuh pertukaran pemain yang mencipta kemenangan di Stamford Bridge dan memberi peluang kepada penjaga gol Loris Karius untuk tampil buat kali pertama. - Agensi

Berita Harian X