Selasa, 20 September 2016 | 3:44pm

Pemain 17 tahun disenarai dalam skuad hoki kebangsaan

KUALA LUMPUR: Hanya ada satu kejutan dalam senarai skuad hoki kebangsaan yang akan menggalas cabaran di pentas Liga Hoki Australia (AHL) bermula 29 September ini yang menyaksikan Malaysia menghantar dua pasukan membabitkan 36 pemain.

Daripada senarai itu, hanya tindakan menyenaraikan penyerang muda sedang meningkat Mohamad Akhimullah Anuar Esook dianggap sebagai perjudian terbesar dibuat barisan kejurulatihan negara kerana pemain lain memang sudah berada dalam senarai 40 pelatih.

Ketua jurulatih skuad pembangunan negara, Erling Wallace Tan mengakui tindakan menyenaraikan penyerang berusia 17 tahun itu sebagai langkah pendedahan awal kepadanya yang dilihat berpotensi besar diasah menjadi penyerang berbisa negara satu hari nanti.

"Kami lihat dia mempunyai sentuhan pemusnah yang hebat, malah pada saingan Divisyen 1 Liga Hoki Malaysia setakat ini dia sudah mencetak 14 gol untuk pasukan TNB Thunderbolt," kata Wallace pada sidang media khas bagi mengumumkan barisan pemain ke AHL 2016 di sini, sebentar tadi.

Di sana, skuad kebangsaan yang terdiri daripada tiga pasukan - skuad senior (Malaysia Tiger), pembangunan lelaki (Malaysia Blue) dan senior wanita - berpeluang meraih pengalaman cukup berharga apabila bakal beraksi dalam salah satu liga paling kompetitif di dunia.

Dalam pada itu, status tempat pakar pukulan sudut penalti Syed Mohd Syafiq Syed Cholan dalam skuad Malaysia Blue masih belum dapat dipastikan akibat kecederaan keretakan ibu jari tangannya.

Senarai 18 pemain Malaysia Tiger

S Kumar, Hairi Abd Rahman (penjaga gol); Sukri Mutalib, Izad Hakimi Jamaluddin, Faiz Helmi Jali, Najib Abu Hassan, Najmi Farizal Jazlan (pertahanan); Marhan Jalil, Fitri Saari, Meor Muhamad Azuan Hassan, Joel Samuel Van Huizen, Azri Hassan (tengah); Firhan Ashaari, Shahril Saabah, Ramadan Rosli, Rashid Baharom, Haziq Samsul, Nik Muhamad Aiman Nik Rozemi (penyerang)

Senarai 18 pemain Malaysia Blue

Hafizuddin Othman, Ridwan Azmi (penjaga gol); Firdaus Omar, Luqman Nul Hakim Shukran, Nor Azrul Abd Rahman, Baljit Singh Charun, Aslam Mohamed Hanafiah, Shahzril Irwan Nazli, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, Amirol Aideed Mohd Arshad (pertahanan); Ahsran Hamsani, Rafizul Ezry Mustafa, Harvinder Singh, Norsyafiq Sumantri, Sufi Ismat Rohulamin (tengah); Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, Faizal Saari (penyerang)

37 dibaca
Berita Harian X