Selasa, 20 September 2016 | 2:05pm

Ahli perniagaan direman kes persenda kematian Haron Din

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan permohonan polis untuk menahan reman tiga hari seorang ahli perniagaan berusia 69 tahun bagi membantu siasatan berhubung tindakannya didakwa menghina Islam berkaitan kematian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Faridatul Farah Shukri selepas mendengar permohonan pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Tahanan reman tiga hari itu bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan terhadap suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Suspek didakwa membuat kenyataan yang menggunakan nama 'ONG TK' dalam akaun Facebook (FB) miliknya berhubung perkara itu.

Suspek ditahan di Mengelembu, Ipoh, Perak, pagi semalam, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk proses siasatan lanjut.

Suspek yang dibawa ke mahkamah diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman.

Semalam, Mahkamah Majistret menolak permohonan polis untuk menahan reman dua lelaki masing-masing berusia 50 dan 62 tahun yang didakwa menghina Islam berkaitan kematian Allahyarham.

Berita Harian X