Selasa, 20 September 2016 | 9:31am
PERLU berhati-hati ketika mengawal pendikitnya kerana ia menggunakan sistem 'ride-by-wire' yang sensitif. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Jentera jelajah berkeupayaan tinggi


YAMAHA MT-09 Tracer menyajikan daya henjutan, tunggangan selesa. - Foto Mohd Yusni Ariffin

PENGEMBARAAN mengguna motosikal berkuasa tinggi adalah aktiviti riadah yang semakin diminati oleh peminat motosikal yang gemarkan cabaran.

Apabila sudah mencuba pada jarak tertentu, pemilik motosikal seperti ini pasti cuba untuk menjelajah lebih jauh dari negeri ke negeri, malah merentasi beberapa negara jiran hingga ke China, Myanmar dan sebagainya. Seterusnya, ramai juga yang sudah merentas benua.

Motosikal jelajah semakin popular di Malaysia, justeru pengeluar motosikal dari Jepun, United Kingdom, Jerman dan Austria kini bersaing sengit memperkenalkan model terbaharu masing-masing.

Pada awal Julai lalu, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) memperkenalkan Yamaha MT-09 Tracer, model yang dinanti-nantikan khususnya oleh peminat motosikal jelajah di negara ini.

Memperoleh unit tunggang uji MT-09 Tracer, kesinambungan daripada pengenalan Yamaha MT-09 'naked' sebelum ini, adalah perkara yang ditunggu-tunggu.

Yamaha MT-09 Tracer dikuasakan enjin 847cc tiga silinder dengan penyejukan cecair dan dilengkapi teknologi pancitan bahan api, yang jelas pada perkiraan penulis, menawarkan penjimatan petrol.


DENGAN berat hanya 190 kilogram dan tork yang tinggi, menyajikan daya henjutan dan tunggangan menyeronokkan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Dengan berat hanya 190 kilogram dan tork yang tinggi, menyajikan daya henjutan dan tunggangan menyeronokkan.

Lebih mengujakan penulis, model ini juga dilengkapi teknologi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang mampu mengawal tenaga disalurkan ke roda belakang, sekali gus menjadikan pengendalian lebih selesa dan stabil dalam apa juga keadaan cuaca dan jalan.

Turut ditawarkan adalah ciri mod tunggangan, D-Mode yang membolehkan penunggang memilih tetapan karakter enjin.

Cara mengendalikan mod ini adalah amat mudah iaitu dengan menekan tombol pada bar hendal sebelah kanan. Bahagian hadapan Yamaha MT-09 Tracer dilengkapi lampu LED dan kowl sebagai pelindung bagi meminimumkan tamparan angin ketika menunggang.

Penulis akui, jentera ini tangkas sebaik memulas pendikitnya tetapi perlu berhati-hati ketika mengawal pendikitnya kerana ia menggunakan sistem 'ride-by-wire' yang sensitif.

Penulis mencuba Mod A untuk memberi prestasi sepenuhnya daripada enjin tiga silinder sebaris bersesaran 847cc, yang mana enjinnya amat senyap sehingga pada kelajuan 150 kilometer sejam (km/j), terasa seperti menunggang pada kelajuan 110 km/j hingga 120 km/j.


TURUT ditawarkan adalah ciri mod tunggangan, D-Mode yang membolehkan penunggang memilih tetapan karakter enjin. - Foto Mohd Yusni Ariffin

MODEL ini juga dilengkapi teknologi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang mampu mengawal tenaga disalurkan ke roda belakang. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Ternyata mod itu memberi perubahan kepada pendikitnya yang bertindak balas secara agresif untuk penulis, yang mana ada ketika, memecut melepasi 200 kilometer sejam (km/j) di Lebuhraya Karak menghala ke Raub. Kelajuan maksimum MT09 Tracer adalah sekitar 230 km/j.

Ternyata kuasa dibekalkan tidak memerlukan penukaran gear lebih rendah untuk menghenjut semula, memadai menggunakan diturunkan satu gear ke belakang.

Posisi tunggangan tegak dan jarak pandangan jauh, memberikan kelebihan kepada penulis untuk mengembara jauh, manakala tempat duduk terpisah antara penunggang dan pembonceng, yang mana juga adalah lebih lebar, dapat mengurangkan kepenatan.

Bagi penulis, ciri utama seperti prestasi, pengendalian yang mudah serta amat selesa adalah ciri perlu pada sesebuah motosikal jelajah dan ciri-ciri berkenaan ada pada Yamaha MT-09 Tracer, selain berbaloi dimiliki dengan harga yang ditawarkan iaitu RM59,900 seunit.


YAMAHA MT-09 Tracer dikuasakan enjin 847cc tiga silinder dengan penyejukan cecair. - Foto Mohd Yusni Ariffin

INFO: Yamaha MT-09 Tracer

  • Dijana enjin 849cc tiga-silinder sebaris DOHC 12-valve penyejukan cecair
  • Kuasa 113 hp pada 10,000 rpm
  • Tork 93 Nm tork pada 8,500 rpm
  • Berat kering: 190 kg
  • Tangki minyak 18-liter
  • Harga RM59,900 (tidak termasuk GST, cukai jalan, insuran dan pendaftaran)
Berita Harian X