Selasa, 20 September 2016 | 7:10am

Keluarga perjelas keputusan kebumi di AS


JENAZAH Allahyarham Datuk Dr Haron Din dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California.

KUALA LUMPUR: Pesanan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang mahu dikebumikan di tempat menghembuskan nafas terakhir, membuatkan keluarganya memutuskan pengebumian jenazah Mursyidul Am PAS itu di California, Amerika Syarikat.

Anaknya, Dr Huda Haron berkata, tempoh panjang iaitu tujuh hari yang diperlukan bagi melengkapkan urusan membawa pulang jenazah ke tanah air turut mendorong keputusan itu.

"Semasa hayat baba, teringat suatu ketika nak bawa mayat dari Kuala Lumpur ke Perlis pun baba takkan izin. Inikan pula berjam-jam malah berhari-hari dalam peti ais. Pulak tu perlu melalui embalm (pengawetan) yang pastinya menyeksakan segenap urat saraf.

"Walaupun ramai yang menghulurkan bantuan untuk urusan dibawa pulang, tapi jangka masa tujuh hari suatu yang tidak dapat kami terima untuk biarkan baba tanpa penghormatan dan kemuliaan yang sepatutnya," katanya.

Penjelasan itu dilakukannya menerusi entri ke akaun Facebook milik Tuan Guru Dato' Dr Haron Din (Official) kira-kira jam 8.30 pagi, semalam.

Mohon maaf kepada semua

Dalam nukilan panjang lebar penuh emosi dari California itu, Dr Huda berkali-kali memohon maaf kepada keluarga, pelajar bapanya, sahabat dan kepemimpinan tanah air atas keputusan keluarganya mengebumikan Allahyarham di luar negara.

Keluarga pendakwah dan tokoh perubatan Islam itu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan dan usaha dihulurkan, termasuk tawaran menyediakan pesawat persendirian, yang disifatkan mereka amat menyentuh perasaan.

"Kami menghargai usaha pihak kerajaan, terutama (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid Hamidi yang bersusah payah membantu aturkan pesawat persendirian.

"Terima kasih. Sangat kami hargai dan tersentuh. Kami sekeluarga merakamkan penghargaan atas keprihatinan Datuk Seri yang bersusah payah bertanya khabar dan menelefon sendiri mama," katanya.

Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, pada jam 10.10 pagi Jumaat lalu waktu Malaysia, akibat komplikasi jantung.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California.

Berita Harian X