Selasa, 20 September 2016 | 12:09am

Hajat terakhir Haida


KUALA LUMPUR: Selepas 22 tahun, lagu melankolik berjudul Hajat ciptaan Saari Amri terus diminati. Baik di corong radio atau premis hiburan karaoke, lagu Cinta Tak Kesampaian itu menjadi antara dendangan pilihan peminat.

Bersandarkan kemasyhuran lagu yang 'meledak' pada tahun 1994 itu, penyanyinya, Haida, 38, masih diingati. Penangan lagu Hajat menyebabkan generasi muda yang menggemari lagu 'jiwang' dan retro, mengenali Haida atau nama sebenarnya, Siti Haida Hassan.

Biarpun jarang muncul di kaca televisyen (TV) atau menerima publisiti dalam media cetak dan elektronik, Haida masih aktif menyanyi dan tidak pernah meninggalkan pentas hiburan sejak mula menyanyi pada usia 16 tahun.

Menemui Haida yang sudah berhijab dua tahun lalu, banyak perkara dikongsi wanita itu termasuk hasrat membuat kemunculan semula yang terbantut pada tahun 2014.

"Saya masih menyanyi. Cuma sejak tahun 2014, saya mula sibuk mengendalikan syarikat pengurusan acara yang ditubuhkan sendiri.

"Disebabkan itu, aktiviti seni mula perlahan tetapi saya tidak pernah berhenti menyanyi. Malah, saya masih terima undangan menyanyi," katanya yang menguruskan Konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin di Pasir Gudang, Johor Bahru, baru-baru ini.

Haida berkata, kesibukan itu menyebabkan projek merakam single terbaharu terpaksa ditunda.

SEPANJANG kariernya, Haida muncul dengan dua album iaitu Hajat dan Besar Kemungkinan di bawah label BMG Music.

Bercerita lanjut, ketika itu, dia sudah mula masuk studio dan mendapatkan bimbingan vokal untuk projek lagu baharu itu.

"Susunan muzik untuk lagu itupun sudah dibuat. Kebetulan, semuanya berlaku pada akhir tahun. Ketika itu, saya juga sibuk memenuhi undangan menyanyi.

"Hendak dijadikan cerita, komposer lagu terbabit juga terikat dengan komitmen lain. Akhirnya lagu itu diberi kepada penyanyi baharu bernama Fara Sulaiman," katanya.

Haida berkata, sudah bukan rezekinya, lagu terbabit yang berjudul Benarnya Cinta dijadikan lagu runut bunyi drama Tundukkan Playboy Itu lakonan Uqasha Senrose dan Hafidz Roshdi.

Menyimpan hajat kembali menyinar, Haida tidak pernah melupakan hasrat menerbitkan single baharu atas permintaan peminat.

"Kalau saya buat persembahan, tak putus-putus peminat bertanya bila nak keluar lagu baharu.

"Selepas konsert Slam, saya bercadang membuat konsert jelajah mereka di beberapa negeri. Nampaknya, perhatian saya terhadap pembikinan single baharu akan berbelah bahagi lagi.

"Namun, saya akan mencuri masa mendengar lagu baharu yang diterima. Mungkin single saya akan siap tahun hadapan," katanya yang pernah mengikuti sesi uji bakat program realiti, GegarVaganza musim ketiga namun rezeki tidak berpihak kepadanya.

HAIDA tidak pernah melupakan hasrat menerbitkan single baharu atas permintaan peminat.

Enggan sentuh soal rumah tangga

Ditanya mengenai konsep single baharunya, Haida mengaku penangan lagu Hajat membuatkan peminat meminta dia muncul dengan genre sama.

"Peminat mahu saya menyanyi lagu seperti Hajat. Mungkin perlu ada gabungan cita rasa seperti Saari dan komposer baharu.

"Saya masih berhubung dengan Saari dan berterima kasih kepadanya atas lagu keramat itu," katanya.

Bercerita mengenai keunikan lagu Hajat, Haida mengaku dendangan itu kuat dengan sentuhan komposer dan pemuzik.

"Saya lihat lagu lama seperti Hajat lebih berjiwa. Lagu disusun cantik dan tidak sembarangan oleh komposer dulu," katanya.

Ditanya soal peribadi, ibu kepada tiga anak itu enggan mengulas lanjut.

Kali terakhir, Haida kali dilaporkan berkahwin dengan Azhr Omar pada tahun 2000. Bersama Azhr, Haida dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Muhammad Aizuddin, 14; Muhammad Danish Aiman, 12; dan Muhammad Muharam berusia tiga tahun.

Haida berterus terang, jika boleh dia enggan menyentuh soal rumah tangga.

"Ketika saya berkahwin pun, ia tak kecoh sangat. Saya sedar artis adalah hak masyarakat dan sebahagian daripada kehidupan perlu dikongsi.

"Tapi saya percaya ada bahagian tertentu yang kekal menjadi privasi.... Tak semuanya perlu dikongsi," katanya.

HAIDA atau nama sebenarnya, Siti Haida Hassan.

Lagu dirakamkan Krisdayanti

Sepanjang kariernya, Haida muncul dengan dua album iaitu Hajat dan Besar Kemungkinan di bawah label BMG Music.

Lagu Manis Masa Bercinta turut mempopularkan Haida apabila ia mara ke Juara Lagu 1995 di bawah kategori Irama Malaysia.

Namun, perjalanan karier nyanyian Haida 'terganggu' pada tahun 1997 apabila jualan album dan tawaran persembahan berkurangan akibat kemelesetan ekonomi negara ketika itu.

Akhirnya, BMG 'melepaskan' Haida tanpa syarat walaupun kontraknya masih berbaki.

"Saya masih ingat hanya sempat mempromosikan album kedua tak sampai dua bulan. Jika diikutkan, album terbabit memiliki banyak lagu indah termasuk Biarkanlah.

"Lagu itu dinyanyikan semula oleh Kris Dayanti dan Ajai dengan ditukar judul kepada Hati Ini Telah Dilukai," katanya.

Mengenang detik kemasyhurannya, Haida tidak menganggap dirinya popular.

"Ada kalanya saya ketawa sendirian mengenangkan memori lama menjadi artis rakaman. Tapi sebenarnya, saya tak rasapun terkenal.

"Saya pernah selamba naik bas pada zaman kegemilangan dulu. Nak pandu kereta tak ada lesen lagi ketika itu. Saya juga baik dengan kumpulan 4U2C dan selalu lepak bersama termasuk menonton wayang," katanya yang turut berkawan rapat dengan anggota kumpulan Sister Sister ketika itu.

Mengagumi Datuk Siti Nurhaliza, Haida gembira dengan pencapaian penyanyi nombor satu negara itu selepas muncul dengan album pertama pada tahun 1996 ketika dirinya masih aktif.

ALBUM Haida berjudul Hajat pada tahun 1994.

INFO

  • Pernah menyanyi di kelab malam di Johor, Kuantan dan Melaka selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
  • Berhenti membuat persembahan di kelab malam selepas berkahwin pada tahun 2000.
  • Menghasilkan dua album iaitu Hajat dan Besar Kemungkinan sepanjang tahun 1994 hingga 1996.
  • Pernah terbabit dalam perniagaan sektor pembinaan yang diceburi suami.

ANTARA berita yang pernah dilaporkan BH pada tahun 2015.

Berita Harian X